GOMBAK: Majlis Konvokesyen Kali Kedua Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) telah berlangsung di Dewan Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, di sini kelmarin.
Majlis penuh gilang-gemilang ini telah menganugerahkan diploma kepada 92 graduan daripada Pahang, Selangor dan Perak yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing selama tiga tahun.
Penyerahan sijil Diploma Eksekutif Naqibat (DEN), Diploma Asas Naqibat (DAN) dan Diploma Eksekutif Pengurusan Rumahtangga Kontemporari (DEPM) telah disempurnakan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Menurut Ketua Jabatan APSA, Ustazah Dr Wahibah Twahir berkata, Naqibat APSA telah berjaya melepasi berbagai-bagai halangan sebagai pelajar dewasa yang menghayati pembelajaran sepanjang hayat.
“Juga erti sebenar tuntutan ilmu dari buaian hingga ke liang lahat. Pelajar-pelajar ini akan kecundang sekiranya tiada sokongan dari suami, ibu bapa dan keluarga,” ujarnya.
Sementara itu, Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Noor merakamkan tahniah kepada seluruh graduan dan mengharap tenaga Naqibat AKIFI menjadi penerus kerja dakwah.
APSA adalah sebuah organisasi berorientasikan pentarbiyahan semi-akademik di bawah Dewan Muslimat PAS Malaysia dengan membawa usaha pendidikan sepanjang hayat bagi mengangkat martabat wanita menurut Islam.
APSA menawarkan pelbagai latihan, kursus, perundingan dan bimbingan dalam aspek keilmuan dan kepakaran dari semasa ke semasa secara profesional dan efisyen khusus kepada para muslimah.
Ianya bagi menjayakan agenda membangun semula sistem pendidikan ummah menerusi usaha golongan wanita dengan menawarkan kursus pelatihan secara khusus dan berterusan kepada naqibat dan bakal naqibat.
Kursus diberi bertaraf diploma bagi memberikan lonjakan dalam pembudayaan ilmu dan aspek pentarbiyahan dalaman para muslimat seterusnya membentuk sifat dan ketrampilan muslimat sebagai pemimpin organisasi dan masyarakat.
Selain itu, beberapa kursus elektif sebagai nilai tambah turut dibuka kepada para muslimah yang berminat untuk meningkatkan kemahiran diri dari semasa ke semasa dengan pelbagai modul berkaitan kewanitaan dan kekeluargaan.
APSA berhasrat menawarkan kursus-kursus berdaya saing dengan institusi diiktiraf oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi dan mampu melahirkan golongan muslimah yang berjuang menegakkan amar ma’ruf nahi mungkar dalam kerangka pembudayaan ilmu-ilmu Islam. – HARAKAHDAILY 23/9/2019