Kawan Umno: Bukti jiwa besar Presiden PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kesanggupan PAS berkawan dengan Umno telah membuktikan jiwa besar parti Islam ini terutama Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang atas pengalamannya dengan parti Melayu itu.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam berkata, banyak perkara telah diperlakukan Umno terhadap ulamak itu, tetapi beliau memberi satu ‘mindset’ yang benar kepada pemimpin PAS lainnya.

Malah, sampai kepada akar umbi parti ini, Tuan Guru menurut beliau, sentiasa menasihatkan dengan hadis agar bersikap seadanya dalam mengasihi seseorang kerana mungkin akan membenci orang itu dan sebaliknya juga.

“Itu beliau nak bagi ‘hint’ sikit-sikit supaya kita boleh terima Umno ini, boleh terima penyatuan ini. Letak survival Islam lebih atas lagi, lebih tinggi lagi daripada kepentingan individu, kepentingan parti dan sebagainya. Sangat berjiwa besar (Tuan Guru).

“(Malah) Tak ada orang sebenarnya dalam (hal seperti) ini (suka bergabung dengan pihak yang telah kalah). Biasanya orang suka bergabung dengan orang yang menang. Memang, bukan tak ada jemputan atau ‘invitation’ daripada PH.

“PH sebelum ini (jemput) supaya PAS datang kepada mereka dan sebagainya. Tapi kita berjiwa besar, kita letakkan tak guna menang sekiranya kita (Islam) tidak dominan di dalam sesuatu kerajaan tersebut. Islam masih lagi tidak boleh dibawa” ujarnya.

Perkara tersebut dihujahkannya dalam Wacana Sinar Harian membicarakan tajuk “PAS – Umno: Dulu Bergaduh Sekarang Berkawan” di Pejabat Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam, semalam.

Tambahnya, jiwa besar ditunjukkan pimpinan, Majlis Syura Ulamak dan Tuan Guru Presiden telah mengenepikan segala perbezaan, sebaliknya semata-mata cuma meletakkan survival Islam itu tinggi dan penting.

Kesatuan tersebut juga jelas Dr Rosni, adalah jiwa umat Islam Nusantara hingga menjadikan negara umat Islam di sini aman berbanding di lain yang menghadapi campur tangan asing. – HARAKAHDAILY 20/9/2019

- Advertisement -