Muafakat: Rakyat kini punyai pilihan lebih baik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyokong dan mendukung Muafakat Nasional yang menjadi harapan baharu kepada rakyat Malaysia.
 
Menurut ketuanya, Shahir Adnan, solongan itu merupakan cerminan sokongan rakyat berbilang kaum kerana parti itu mewakili seluruh Bangsa Malaysia yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India, serta kaum pribumi Sabah dan Sarawak.

- Advertisement -

“Muafakat Nasional adalah terjemahan kepada perpaduan antara kaum yang menjadi teras kepada visi dan misi Ikatan itu sendiri.

“Visi dan misi Ikatan adalah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang dilihat kini makin dicabar oleh segelintir rakyat Malaysia yang mahu merobek perpaduan antara kaum,” katanya dalam satu kenyataan media.

Jelanya, isu-isu perkauman seperti pembelajaran Jawi, kesenian khat dan promosi barangan buatan orang Islam dijadikan modal politik untuk memberikan persepsi negatif kepada penyatuan ummah.
 
Lantaran itu, katanya, Himpunan Penyatuan Ummah yang diadakan semalam berjaya menyatupadukan blok pembangkang pada hari ini.

“Siapa sangka persengketaan selama enam dekad antara PAS dan Umno telah ditamatkan pada hari ini dengan termeterainya Piagam Muafakat Nasional,” ujarnya.

Katanya, perpaduan antara blok pembangkang ini sebenarnya merisaukan PH.
 
Shahir turut menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia yang turun ke PWTC untuk menyaksikan peristiwa bersejarah dalam arena politik negara.

Jelas beliau, rakyat kini mempunyai pilihan yang lebih baik, untuk memilih gabungan pembangkang melalui Muafakat Nasional yang menjiwai denyut nadi orang Melayu, Cina, India dan seluruh kaum di Malaysia. – HARAKAHDAILY 15/9/2019

- Advertisement -