CKY elok jumpa ikan dan udang

- Advertisement -

GERAKAN Pembela UMMAH Pulau Pinang (UMMAH Pulau Pinang) mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow kerana positif untuk berjumpa nelayan atas isu PTMP dan PSR selepas kejayaan Himpunan Ummah Selamatkan Pulau Pinang (Penang Tolak Tambak) Ahad lalu. Namun begitu UMMAH Pulau Pinang merasa agak kecewa kerana keengganan beliau berjumpa NGO-NGO yang telah berhimpun dan berjuang membela nelayan dalam isu ini. Kami adalah rakyat Pulau Pinang yang ada hak bersuara atas prinsip demokrasi negara ini dan turut sama terkesan dengan projek ini.

- Advertisement -

Saya antara rakyat Pulau Pinang yang sedikit gembira apabila Chow Kon Yow dilantik menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Beliau kelihatan bersih dan jujur berbanding Lim Guan Eng yang agak “kotor” dengan isu bangalow dan terowong yang telah “dibakulsampahkan” selepas berkuasa. Keengganan beliau menyerlahkan sikap sombong dan angkuh serta membunuh dasar “Competency, Accountability, Transparency (CAT) yang diperjuangkan oleh kerajaan negeri. Jika begitu sikap beliau,saya nasihatkan lebih baik beliau berjumpa “ikan dan udang” yang amat terkesan dengan tambakan laut ini. Rasailah denyut nadi hidupan laut “stakeholders” sebenar yang terjejas. Beliau boleh berhubung dengan pakar bahasa ikan dunia Dr Phil Lobel sekiranya perlu untuk membantu.

UMMAH Pulau Pinang akan terus fokus atas isu ini. Kita akan sekali lagi membawa memorandum dan petisyen ke Parlimen. Kita akan terus menyokong usaha NGO yang lebih awal memperjuangkan isu ini seperti Sahabat Alam Malaysia (SAM), Penang Forum, Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan juga Persatuan Nelayan Pulau Pinang sendiri. UMMAH Pulau Pinang akan bersama mereka di Forum Awam 16hb September nanti dan juga pada 4hb November di Padang Kota Lama.

Ketua Menteri Pulau Pinang harus berjiwa besar dan terbuka. Jika tidak prinsip CAT hanya akan menjadi “kucing kurap yang kencing di kaki tuannya sendiri”. Chow Kon Yeow perlu tahu beliau lebih baik dan bersih daripada Lim Guan Eng.

MOHD AKHIR CHE MAT
Pengerusi UMMAH Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 15/9/2019

- Advertisement -