PAS-Umno Kampar sudah sarung t-shirt HPU914

- Advertisement -

KAMPAR: Lajnah Penerangan PAS Kawasan Kampar dan Biro Penerangan Umno Bahagian Kampar telah berkolaborasi menganjurkan Ceramah Ambang Himpunan Penyatuan Ummah di Kampung Tualang Sekah, di sini kelmarin dahulu.

- Advertisement -

Penganjuran itu disuntik dari semangat Himpunan Penyatuan Ummah 914 (HPU914) serta pelbagai lingkaran isu hangat yang berlaku di bawah pemerintahan PH hingga mengobarkan semangat perpaduan ummah, khususnya daripada dua parti ini.

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria dalam ucapan kemuncaknya di majlis ini menyifatkan perpaduan kedua pihak adalah kurniaan terbesar kepada umat ini yang dikaitkan beliau dengan sirah penyatuan Aus dan Khazraj.

Beliau turut menyenaraikan isu-isu yang menjadi kekesalan umat kerana menggugat dan mengancam agama Islam serta hak Melayu dan Bumiputera serta tonggak-tonggak asas negara seperti tulisan Jawi, penghinaan terhadap anggota keselamatan dan banyak lagi.

Hujah beliau diperkukuhkan dengan iktibar kejatuhan Kerajaan Islam di India yang pernah memerintah selama ratusan tahun, serta konflik di Kashmir melibatkan campur tangan Kerajaan India terhadap umat Islam di wilayah tersebut.

Semangat untuk ke HPU914 juga dikobarkan dengan gimik oleh Yang DiPertua PAS Kampar, Ustaz Mohd Sofian Rejab yang menyarungkan t-shirt rasmi HPU914 kepada Ketua Pemuda Umno Kampar, Rosdhi Nandhri.

Manakala Ketua Umno Kampar, Dato’ Abd Rahman Md Som menyarungkan pula kepada Ketua Pemuda PAS Kampar, Mohd Shahrizan Ahmad Fuat, selain majlis juga menyaksikan penerimaan 30 sijil keahlian baharu oleh PAS Cawangan Tualang Sekah. – HARAKAHDAILY 10/9/2019

- Advertisement -