PSR: UMMAH sedia gerak bantahan besar ke Parlimen

- Advertisement -

BAYAN BARU: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) memberi peringatan akan menggembleng himpunan lebih besar ke Parlimen sekiranya Kerajaan Negeri Pulau Pinang enggan membatalkan projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR).

- Advertisement -

Pengerusi UMMAH Pulau Pinang, Mohd Akhir Che Mat menegaskan, pihaknya tidak menolak pakej pembangunan yang mahu dijayakan bertujuan menyelesaikan masalah lalu lintas dalam negeri ini sebagaimana rancangan asal.

Perkara tersebut dinyatakan beliau dalam pidatonya pada Himpunan Ummah Selamatkan Pulau Pinang di Padang Awam Kampung Permatang Damar Laut, di sini sebentar tadi.

Namun katanya, ia kemudian berubah dan menimbulkan masalah yang banyak kepada rakyat, selain hanya menguntungkan pihak tertentu sahaja terutama pemaju di mana bakal membawa pulang keuntungan RM14 bilion.

Sehubungan itu gesa beliau, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) mesti dikaji semula oleh pihak kerajaan di mana ia akan melibatkan kos tersangat besar iaitu RM46 bilion, sedangkan perancangan asal cuma RM10 bilion.

Mohd Akhir turut menyangkal tuduhan sesetengah pihak bahawa bantahan terhadap projek mega itu sebagai isu perkauman dan politik kerana ia lebih awal disuarakan oleh NGO-NGO dari pelbagai kaum dan agama.

Manakala penglibatan politik pula belanya, adalah realiti yang tidak dapat ditolak kerana parti-parti politiklah akhirnya menentukan dasar dan corak pentadbiran negeri atau negara dan semua ahli politik adalah manusia serta rakyat negara ini.

Beliau turut menyuarakan kerisauan menjelang 30 tahun lagi sebagaimana dihasratkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, penduduk pulau ini akan bertambah sehingga lebih 40,000 orang mendiami ke sini.

Bagaimanapun pertikai beliau, pertambahan tersebut mustahil berlaku secara kelahiran, sebaliknya dikhuatiri dengan kemasukan pelancong dan warga asing; selari laporan kehilangan data Imigresen serta kehilangan yang tidak dapat dikesan.

Beliau juga menegaskan solidariti bantahan itu turut disokong NGO-NGO lain antaranya Penang Forum, Pemenang, Teroka, Pemikir dan lain-lain lagi. – HARAKAHDAILY 8/9/2019

IMG 20190908 WA0047

- Advertisement -