Usir perosak perpaduan negara, bukan Zakir Naik

- Advertisement -

KELANTANGAN beberapa pimpinan politik dan beberapa pihak tertentu yang mahu menyemak kembali status kerakyatan tetap (PR) Dr Zakir Naik agar ditarik kembali untuk beliau diusir dari negara Malaysia ini adalah satu tindakan yang mengundang kemarahan umat Islam khususnya.

- Advertisement -

Tindakan mereka dilihat melampau kerana sekian lama PR yang diberikan oleh kerajaan Malaysia sebelum ini kepada beliau mula dipersoalkan. Malah tindakan mereka seakan mencabar institusi agama kerana Dr Zakir Naik pernah dinobat sebagi Tokoh Maal Hijrah pada tahun 2013.

Pemuda PAS Selangor melihat isu ini sebagai satu drama bagi menutupi kelemahan dan kepincangan yang berlaku sebelum ini, agar rakyat beralih fokus dari isu yang sepatutnya seperti:

1. Ketiadaan pembelaan terhadap kes kematian arwah Mohamad Adib, seorang anggota bomba yang terbunuh dalam insiden rusuhan kuil.

2. Pencemaran Sungai Kopok dan Daing di Pasir Gudang.

3. Krisis air yang berlarutan di negeri Selangor.

4. Keegoan membuta pimpinan DAP negeri Selangor yang memendekkan sidang DUN dari pembentangan usul pindaan enakmen yang melibatkan status pertukaran anak.

Malah banyak lagi isu agama dan rakyat yang sedang melanda di peringkat negeri mahupun negara. Disebabkan itu, isu Dr Zakir Naik cuba diperbesarkan dan dijadikan polemik antaranya bertujuan bagi menutupi kelemahan dan kepincangan yang sedia ada di dalam pemerintahan Kerajaan PH.

Selain itu, dalam isu Dr Zakir Naik ini, Pemuda PAS Selangor bertegas agar kerajaan dan rakyat perlu bangkit mempertahankan Dr Zakir Naik. Beliau tidak menggugat perpaduan negara. Dakwah perbandingan agama yang menjadi kemahiran beliau merupakan satu anugerah yang patut dimanfaatkan dalam konteks dakwah di Malaysia yang melibatkan kepelbagaian kaum.

Jika mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan hujah beliau, maka lawanlah dengan hujah. Buka gelanggang dialog dan debat atas apa jua medium yang bersifat intelektual. Bukannya menggunakan kediktatoran dengan kuasa untuk menyekat apatah lagi mengusir beliau.

Malah, yang sepatutnya diusir ialah mereka yang mengeluarkan kenyataan yang berbaur rasis. Ini kerana ucapan mereka menghasut dan merosakkan perpaduan ummah. Antaranya kenyataan Naib Pengerusi DAP, M. Kula Segaran yang mendakwa Melayu merupakan golongan pendatang di negara ini.

Pemuda PAS Selangor menyeru semua rakyat agar kembali teguh mempertahankan perpaduan negara. Dalam masa yang sama menolak pimpinan politik yang gemar memain isu sentimen perkauman yang jelas bercanggah dengan Perlembagaan dan Kontrak Sosial yang yang selama ini telah diterima pakai oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Demi Islam”
“Bangkit: Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah”

USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Selangor
19 ZulHijjah 1440H / 20 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 20/8/2019

- Advertisement -