Pemangsa yang dimangsakan

- Advertisement -

PEMANGSA mengikut bahasa kita ialah suatu benda atau kumpulan yang berkuasa menjadikan sasaran mereka sebagai makanan contohnya. Mereka boleh jadi binatang, boleh jadi juga manusia. Mungkin mereka berkuasa menjadikan mangsanya tunduk berada di bawah penguasaan mereka, tidak semestinya menjadi makanan sahaja. Pemangsa adakalanya bersendiri, adakalanya dalam kumpulan kecil dan ada juga bergerak dalam satu kumpulan besar. Pendek kata pemangsa ini mestilah lebih kuat daripada mangsa mereka, sama ada menggunakan kekuatan dalam diri, senjata luar ataupun kecerdikan akal.
 
Jika ada berita melaporkan bahawa seekor pelanduk menjadi mangsa kepada sekumpulan anjing buruan, ianya bukanlah berita yang mengejutkan atau terlalu pelik. Memang semua orang tahu, pelanduk adalah mangsa turun temurun kepada anjing buruan. Namun jika berita itu menyebutkan yang anjing itu menjadi mangsa kepada pelanduk, contoh diterajangnya anjing itu oleh pelanduk, maka berita itu amat sensasi kerana ianya hampir mustahil berlaku. Dan kerana itulah konon diriwayatkan Kota Melaka didirikan oleh Parameswara, kerana peliknya peristiwa pelanduk menendang anjing baginda. Begitulah ia dihikayatkan.
 
Kita biasa menonton rancangan seperti National Geographic, dan dapati banyak dokumentari tentang kehidupan binatang liar, sama ada di tengah dataran savanah, dalam kegelapan laut mahu pun terbentang di udara. Ia mengisahkan mengenai betapa mangsa dan pemangsa, saling berlumba-lumba untuk hidup. Siapa yang pantas, siapa yang cekap dan berpengalaman, akan mempunyai peluang cerah untuk memenangi perlumbaan hidup itu. Kehidupan di luar sana bersifat adil. Adil dalam dunia kebinatangan.
 
Namun, kita yang hidup jauh daripada binatang-binatang ini, sentiasa bersikap tidak adil. Kita tidak adil kepada pemangsa. Apabila kita melihat singa contohnya, membaham seekor kerbau, kita segera merasa kasihan kepada kerbau. Perasaan kita sangat tersentuh kerana pada anggapan kita, singa itu zalim. Mengapa harus sang singa membaham kerbau itu? Kita lupa yang singa juga mempunyai hak untuk makan. Mereka hanya melengkapkan kitaran makanan yang ditetapkan secara semula jadi sejak azali oleh Allah. Adakah kita berpendapat singa mesti memakan rumput, semata-mata kerana kasihankan kerbau?
 
Singa menjadi mangsa kepada keadaan yang dihukumkan oleh kita mengikut perasaan, bukannya keadilan kerana kita tidak mengetahui sistem binatang di sana. Ianya sangat adil kepada semua binatang itu kerana kitaran ekologi di sana, memerlukan mereka saling memakan sesama sendiri. Dan jangan dilupa, si singa itu makan ketika lapar sahaja, dan akan mencari kembali makanan setelah mungkin seminggu berburu. Bukan macam kita, hari-hari makan banyak. Jadi bagaimana jumlah mangsa boleh pupus? Kasihan singa.
 
Begitulah juga dalam kehidupan kita. Tentulah saya akan sentuh dalam konteks Malaysia. Melayu Islam sekarang ini bagai diibaratkan singa. Digambarkan sebagai pemangsa yang jahat. Segala-galanya kerana fitnah tidak bertoleransinya kita terhadap bangsa dan agama lain di negara ini. Sehinggakan salah seorang Menteri yang suatu ketika dahulu sebelum menjawat jawatan Menteri ini, beliau menjaja nama Malaysia sebagai nama yang jahat. Memaksa orang bukan Islam memeluk Islam. Tiada peluang pekerjaan, pelajaran dan lain-lain keperluan asas. Bermacam-macam lagi tohmahan beliau kepada Melayu Islam.
 
Maka, pemerhati luar, sebagaimana kita menonton rancangan National Geographic itu, mula berkomentar, mengikut suara si makhluk itu, menghukum Melayu Islam di Malaysia, sebagai tiada perikemanusiaan. Sedangkan tidak pernah dipaksakan kerajaan ataupun individu kepada bukan Islam untuk memeluk Islam. Malah, patung sembahan mereka, paling besar di Asia, ada di Batu Caves, tempat suci mereka. Tidak pula mereka melihat toleransi itu. Sehingga kini, beliau bebas, dan bergaji besar, dibayar oleh majoriti wang Melayu Islam yang dia fitnahkan dahulu.
 
Kematian Adib masih belum terbela, bagaikan tiada orang tahu cerita sebenar, kini muncul pula berita allahyarham Syed Muhammad Danial, dipukul sehingga maut dalam satu pergaduhan akibat kemalangan kecil oleh seorang bangsa lain. Kita tidak mahu menuduh sebelum dibuktikan, tetapi Syed sudah mati, pasti ada pembunuhnya. Sebelum itu seorang model terlepas apabila memandu dalam keadaan mabuk, menentang arus jalan raya. Adakah terlalu jahat Melayu Islam di Malaysia ini sehingga diperlaku sedemikian? Saya tidak mahu menonjolkan isu berkenaan bangsa dan agama terlalu khusus. Persoalannya kenapakah ia semakin menjadi-jadi kini?
 
Minggu lalu apabila timbul isu penghinaan kepada Rasulullah, Menteri Melayu Islam sendiri yang menjadi perisai kepada pelaku jahat itu dengan menuduh orang lain, iaitu seorang Melayu Islam sebagai pelakunya kerana konon mahu mengeruhkan keadaan yang kemudiannya beliau menarik kembali tuduhan itu kerana belum pasti kebenarannya. Cepatnya dan betapa jahatnya Menteri itu, sanggup mengeluarkan kenyataan sebegitu? Sudahlah sebelum ini tergelincir lidah menuduh Rasulullah juga tidak menunaikan janji. Melayu Islam di Malaysia sekarang ini sentiasa menjadi mangsa keadaan.
 
Apabila Exco bukan Melayu Islam dituduh merogol, beliau tidak dikenakan tahanan reman. Tetapi apabila Melayu Islam, seorang MPKK dari Melaka kena tuduhan hampir sama, beliau terus ditahan. Apabila Menteri bukan Melayu Islam didakwa ke mahkamah atas tuduhan rasuah, beliau dibebaskan. Dan bila mana bekas Perdana Menteri dituduh, mereka membawa beliau ke mahkamah. Kemudian ditokok tambah lagi cerita dijaja kepada rakyat, menambah perisa fitnah mereka. Tapi buktinya entah di mana.
 
Dalam mana kita sekarang sedang membesarkan Allah menyambut Hari Raya Korban, iaitu hari raya besar kita ini, kerana ia melibatkan urusan tauhid, kita dikejutkan dengan satu cadangan. Cadangan untuk tidak menyiarkan gambar-gambar ataupun video berkenaan sembelihan kita kepada Allah itu, untuk tontonan ramai. Ia bagi menjaga hati penganut agama lain kononnya. Tiadalah diketahui idea itu datangnya dari Melayu Islam sebenar atau yang menyamar.
 
Bukankah menjadi perkara sunat kita melihat darah korban yang mengalir itu? Sangat adil kita mempertahankan hak agama dan bangsa kita, kerana kita adalah pemilik tanah ini. Bukan semua benda kita mahu, sehingga tiada apa bagi bukan Islam. Ada tolak ansurnya. Tidakkah itu adalah salah satu syiar Islam? Apabila kita menyebut syiar kepada agama kita, maka sepatutnya kita berbangga dengan ritual itu. Sebagaimana si singa yang memakan kerbau, contoh di atas. Itu hak dia. Kenapa si singa dilihat kejam? Dan bukan semua kerbau dimakannya, hanya seekor dua, dalam masa yang lama.
 
Azan sebagai contohnya, telah diarahkan oleh Lee Kuan Yew untuk diperlahankan dan ke dalam masjid sahaja kerana dakwa beliau, tiadalah ramai orang yang datang ke masjid, walau dilaungkannya keluar. Hanya beliau membenarkan azan di dalam radio. Maka gangguan adalah asbab utama perbuatan beliau ketika itu. Majoriti rasa terganggu, dengan azan. Dakwaan azan untuk memanggil Muslim bersolat, tidak diterima kerana sedikit sahaja yang hadir ke masjid. Jadi kehendak majoriti perlu diraikan dalam negara demokrasi. Begitulah yang berlaku di tanah yang pernah dimiliki Islam.
 
Maka tidaklah kaget kita semua dengan cadangan bodoh atau hinaan sebegini. Ia hadir di zaman kita ini kerana bukan sahaja orang kafir, malah yang mengaku Islam sendiri menjolok-jolok sesama Islam dengan isu-isu ini. Bukan boleh ditumpang kuasa mereka untuk Melayu Islam, malah ditunjal-tunjal pula kepala kita kerana takutnya lari undi oleh bangsa dan agama lain kepada mereka. Jika dizaman kegemilangan Islam, maka menjadi debulah puak-puak ini, dikerjakan ulamak. Ingatkah lagi kisah Natrah di Singapura?
 
Apapun, ia bermula dari kesilapan kita juga. Kita tidak sedar, kita memberi ruang terlalu besar kepada golongan ini. Kita boleh menjadi pemangsa yang ganas seperti China dengan Uyghur atau India dengan Kashmir atau contoh paling klasik, Yahudi bila mereka kuat, terhadap bangsa-bangsa lain. Namun kita memilih untuk berlaku sopan. Sopan kita dibalas dengan kurang ajar oleh sesetengah mereka. Santun kita diinjak-injak oleh golongan tidak sedarkan diri, menumpang di rumah kita. Sedarlah bahawa kita ini gagah, tetapi bukan untuk memusnahkan tanpa alasan yang benar.
 
Gagah kita dengan menghormati hak tetamu. Perkasa kita bagi mempertahankan hak kita, agama dan bangsa kita daripada dipijak-pijak oleh mereka yang tidak berniat baik. Kita tidak memilih untuk menjadi pemangsa kerana tiada gunanya jika orang lain terjejas. Tetapi sekarang kita pula sangat terjejas di halaman sendiri. Kita bagai menjadi mangsa, sedangkan kita sangat kuat. Lalu saya teringat kepada tulisan YB Haji Ahmad Amzad Hashim, kita ini ibarat gajah yang diikat kakinya. Hanya kerana merasa kaki terikat, maka kita menjadi lemah. Sedangkan jika disentap rantai itu, dan sebenarnya kita mampu, kita akan bebas.
 
Sentaplah ‘rantai’ yang membelenggu kita ini. Tidak terasakah agama kita juga terkadang mahu diatur mereka? Jangan jadi mangsa kepada kumpulan politik yang rakus seperti PH lagi. Gunalah jalan petunjuk yang Allah sediakan bagi kita untuk bertindak. Kitakan Islam, yang akan mendapat pertolongan Allah, akan mendapat pahala jika berjuang, mengapa perlu tunduk takut kepada yang lain?
 
MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
12 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 12/8/2019

- Advertisement -
- Advertisement -