PERIBAHASA ‘Kalah menjadi abu, menang menjadi arang’, inilah situasi mudah yang boleh digambarkan kepada perjuangan PAN yang kononnya mahu mendaulatkan Islam di tanah air tercinta ini. Peribahasa tersebut membawa maksud bahawa jika PAN ini menang atau kalah, ia tetap merupakan satu kerugian kepada Islam yang penulis kira, tidak dapat dielak dan dinafikan pun.
Peribahasa tersebut boleh dikaitkan dengan pendirian PAN dalam pelbagai isu yang melibatkan maslahah agama. Semasa usia parti ini hampir mencapai empat tahun dan setahun lebih sebagai kerajaan, pelbagai spekulasi dan kenyataan tidak matang dikeluarkan dari mulut pimpinan mereka, seterusnya menjadikan mereka ini sebagai ‘Duri dalam daging’ kepada apa yang kita sebut perjuangan Islam.
Apabila mengenangkan pelbagai masalah kekeliruan yang mereka timbulkan, jelas Rahmatan Lil ‘Alamin hanyalah tinggal bayang, sekadar retorik politik untuk memenangi undi Melayu. Bahkan konsep ini sendiri tidak diamalkan oleh mereka. Hal ini demikian, kelihatan jelas pada pendirian mereka tidak sedikit pun berani membela Islam ketika hukum-hakam Islam dicemuh dan dipersenda. Mereka sering memberi alasan dan penafian untuk tidak mempolitikkan isu agama.
Ini adalah kenyataan tidak matang dan sungguh tidak bemoral dari segi agama. Moral beragama ialah seperti ‘Mencubit paha kanan, paha kiri juga terasa’ yang membawa maksud jangan pernah sesekali mencuit isu ini, kerana hukum Islam sangat sensitif dan perlu dipertahankan. Apabila isu beragama ini dimainkan, maka ia akan melahirkan kemarahan wajar khususnya kepada umat Islam di Malaysia ini.
Tidak lupa juga, terkini ialah isu tentang ekstradiksi pendakwah Islam terkenal, Dr Zakir Naik yang didakwa mereka perlu dihantar semula ke Negara asal beliau atas sebab tertentu untuk menjaga hubungan dua hala. Hubungan kenegaraan ini menjadi punca dalil mereka untuk mengiyakan bahawasanya dakwah Dr Zakir Naik ini merupakan satu jenayah dan tidak diperlukan di medan politik Malaysia.
Dalam pada itu, terdapat mulut-mulut dan tangan puaka di dalam PH yang cuba merealisasikan ekstradisi itu dengan cara menunggang alasan untuk bersifat demokratik. Sifat demokratik yang mereka pamerkan tidak langsung menggambarkan demokrasi, bahkan ia Cuma satu lakonan jelek menyembunyikan kebencian mereka terhadap Islam.
Perkara ini turut di sentuh oleh Mufti Perlis, Prof Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang turut bersetuju dengan pendirian PAS Kelantan dalam isu ini. Perjuangan demoktarik DAP hanyalah topeng untuk menutup sisi gelap survival politik mereka yang sentiasa bercita-cita untuk tekad mengekang gerak kerja Islam ini ibarat ‘Menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri’.
DAP bersama Penasihatnya Lim Kit Siang dicabar untuk hadir berhujah bagi memenangkan alasan mereka untuk melakukan ekstradisi ke atas Dr Zakir Naik.
Dakwaan Mufti Perlis, jika mereka tidak mengemukakan hujah dan alasan yang bernas, maka terbukti DAP hanyalah satu parti yang anti-Islam, perkauman ibarat ‘Gunting dalam lipatan’ yang ingin mencari ruang permusuhan dengan majoriti umat Islam di Negara ini. Maka penulis juga menegaskan untuk DAP berhenti mencanang kebencian terhadap umat Islam.
DAP perlu sedar Malaysia merupakan Negara kebanyakan kaum, maka dari itu, jangan pernah sesekali mengapikan kebencian perkauman dan keagamaan kerana ia sangat buruk dan tidak wajar untuk diamalkan. Mereka ini seperti ‘Mengharapkan guruh di langit, air di tempayan pula yang dicurahkan’, mereka tidak bersyukur betapa rakyat memberi mereka kepercayaan untuk mentadbir dan memulihkan Negara daripada muflis. Kerana akhirnya, mereka sendiri telah mengkhianati kepercayaan rakyat dengan cara menolak penegasan Islam di dalam ‘Ruling’ pentadbiran Negara dan rakyat Malaysia menjadi saksi untuk itu!
Inilah perkara yang sangat memalukan Malaysia sebagai sebuah Negara yang majoritinya umat Islam dan termaktub padanya, perlembagaan agama Islam sebagai agama rasmi. Kelihatan PAN sebagai parti melayu Islam dalam komponen PH tidak menyuarakan langsung pandangan yang sewajarnya mengenai hal ini. Mengapa apa yang takut sangat untuk menyuarakan pendirian dalam menegakkan Islam kepada DAP ini? Adakah DAP ‘Bossku’ kepada PAN?
PAN seperti ‘Kerbau dicucuk hidung’ yang hanya menurut sahaja apa yang dikehendaki DAP. Ke mana pergi perjuangan Islam Putrajaya yang mereka canangkan? Kini, tiada lagi laungan perlaksanaan Islam setelah berjaya ke Putrajaya. Segala sejarah dan peristiwa perjuangan mereka hanya menjadi satu dogengan untuk meraih populariti undi melayu Islam. Sifat futur sudah menjemput mereka, perjuangan mereka untuk membawa Islam kini hanya tinggal laungan kosong semata-mata. – HARAKAHDAILY 9/8/2019