Kerajaan digesa kawal pornografi di internet

- Advertisement -
DEWAN Muslimat PAS Malaysia berbesar hati dan memuji usaha serta kesungguhan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam melindungi golongan kanak-kanak kepada salah saku seksual melalui pelancaran video pendidikan seks.
 
Hal ini bertepatan dengan kadar penembusan internet yang mencecah 25 juta atau 79 peratus daripada jumlah penduduk negara, sebagaimana yang dilaporkan Digital 2018 oleh Hootsuite and We Are Social.
 
Pelancaran video berkaitan pendidikan seks bagi kanak-kanak tersebut amat signifikan dengan situasi yang pernah dilaporkan oleh Ketua Perangkawan Malaysia. Dengan kadar penembusan internet mencecah 81 peratus bagi penduduk 15 tahun ke atas, usaha pihak kementerian tersebut amat perlu diberi perhatian agar ianya terus diperkasa.
 
Muslimat PAS berpandangan penggunaan pelbagai alatan komunikasi pintar dewasa ini dalam kalangan remaja dan kanak-kanak wajar diberi pemantauan yang sangat ketat. Selain peranan yang perlu dimainkan oleh ibu, bapa dan penjaga, kawalan penembusan kepada internet oleh pihak berkuasa mesti diberi perhatian.
 
Sebagai sebuah negara yang menduduki tangga ke-9 dalam senarai kadar penembusan internet, kawalan yang lebih ketat seharusnya mula difikirkan. Selain langkah kawalan melalui kempen-kempen kesedaran, kawalan secara sekatan kepada laman-laman atau bahan yang tidak sepatutnya mesti mula diberi penekanan dan diperkasa.
 
Muslimat PAS sentiasa menyokong usaha pihak berwajib dalam memastikan penggunaan internet di negara ini tidak mendatangkan kemudaratan atau kemusnahan kepada pembinaan generasi muda negara.
 
“Islam Memimpin Perpaduan”
“Islam Memimpin, Wanita Sejahtera”
 
DR ROSNI ADAM
Timbalan Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 3/8/2019
 
- Advertisement -