Judi: Ketegasan ambil kira kepentingan umat Islam

- Advertisement -

ALOR SETAR: Ketegasan Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Mohd Zohdi Saad berkenaan isu pemindahan premis judi Sports Toto di Pokok Sena wajar dipuji semua pihak kerana menunjukkan pertimbangan semula dengan mengambil kira kepentingan umat Islam setempat.

- Advertisement -

Demikian ucap Ketua Penerangan PAS Kawasan Pokok Sena, Ustaz Salim Mahmood sejurus  selesai menyerahkan memorandum bantahan berkenaan isu berkenaan kepada Datuk Bandar di pejabatnya, semalam

“Pertemuan berlangsung penuh harmoni dan mahabbah. Ini  melambangkan simbolik bernilai tinggi antara sebuah parti politik dan pihak berkuasa tempatan untuk kepentingan umat Islam,” ujar beliau.

Turut bersamanya menyerahkan memorandum bantahan itu termasuklah Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah, Ustaz Radhi Abd Rahman, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri,Ustaz Nurul Amin Hamid dan ahli jawatan kuasa PAS Kedah, Radhi Md Din.

Dalam pertemuan itu beliau juga menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Mahfuz Omar yang secara terbuka menyalahkan pihak polis dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) kononnya memberi kelulusan kedai judi tersebut.

“Sewajarnya beliau bersikap profesional dan matang melalui saluran diplomasi yang betul dalam menyelesaikan isu ini bukannya menuduh melulu tanpa usul periksa,” kata Adun Bukit Lada itu lagi.

Justeru itu suara umat Islam yang bersatu membantah pembukaan premis judi tersebut adalah sesuatu yang perlu diketengahkan secara konsisten agar sensitiviti umat terhadap ancaman yang timbul sentiasa hidup dan bernyawa. – HARAKAHDAILY 1/8/2019

- Advertisement -