PAS hargai penerimaan MIC

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan terima kasih kepada Presiden MIC, Tan Sri S Vigneswaran di atas pandangan yang sangat terbuka terhadap PAS.

- Advertisement -

S Vigneswaran sebelum ini berucap dalam Konvensyen Tahunan MIC menjelaskan bahawa PAS bukan parti radikal seperti dakwaan pengkritik-pengkritik parti tersebut sambil menggesa anggota MIC meraikan kerjasama antara PAS dan Umno.

Justeru itu, Tuan Guru Abdul Hadi menyatakan penghargaan di atas penerimaan MIC terhadap PAS dan berhasrat untuk membuka ruang kerjasama yang lebih erat dengan MIC serta masyarakat majmuk yang lain.

“Terima kasih kepada Presiden MIC, YB Senator Tan Sri S Vigneswaran atas pandangan beliau yang sangat terbuka terhadap PAS.

“PAS menghargai pandangan tersebut dan membuka pintu kerjasama yang lebih erat dengan MIC dan kalangan masyarakat majmuk,” ujar beliau dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau, kelmarin.

Melihat penerimaan tersebut sebagai sebuah kejayaan PAS dalam membawa imej Islam, beliau mewakili PAS bertekad untuk terus memperkenalkan Islam sebagai sebuah agama yang memberikan keadilan untuk semua serta tiada paksaan beragama selain menjaga keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.

Sabtu lalu, pemimpin-pemimpin tertinggi MIC berusaha meyakinkan anggotanya bahawa parti mereka tidak akan dipinggirkan dalam perkembangan Umno yang akan memeterai kerjasama rasmi dengan PAS. – HARAKAHDAILY 29/7/2019

- Advertisement -