Tiga elemen perkasa gerak kerja Penerangan PAS

- Advertisement -
KOTA MELAKA: Lajnah Penerangan PAS Negeri Melaka telah merangka gerak kerja untuk lebih aktif menyalurkan maklumat dan isu semasa kepada ahli, penyokong dan masyarakat awam.
 
Ketua Penerangan PAS Melaka, Bakri Jamaluddin berkata, perkara tersebut akan didukung dengan kerjasama semua Ketua Penerangan PAS Kawasan-kawasan di seluruh negeri ini.
 
Beliau menyatakan perkara itu ketika mengadakan pertemuan bersama Ketua Penerangan PAS Kawasan-kawasan di Pejabat Perhubungan PAS Melaka, Semabok, di sini semalam.
 
Selain itu menurut beliau, Penerangan PAS Melaka akan memenuhi usaha mendepani media massa yang mencabar di zaman ini dengan peranan mengangkat pimpinan utama sebagai ikon.
 
Jelas beliau, pimpinan utama PAS akan dipromosikan kepada masyarakat awam yang sekali gus menjadi rujukan penting berkaitan pengenalan dan penerangan mengenai politik.
 
“Selain fokus utama kita dalam memberi maklumat dan penerangan lebih jelas kepada orang awam, kita perlu perkasakan tiga elemen penting dalam gerak kerja penerangan ini.
 
“Pertama, mengangkat kepimpinan utama PAS selaku ikon. Kedua, mempromosikan imej PAS menerusi pendekatan ditetapkan. Ketiga, menambah nilai kekuatan PAS menerusi gerak kerja bersepadu,” jelasnya.
 
Pada Ahli Jawatankuasa Penerangan PAS Melaka ini turut dirangka beberapa program khusus, selain memperkenalkan Prosedur Operasi Standard memperkasakan lajnah. – HARAKAHDAILY 16/7/2019
- Advertisement -