Temubual: Masa depan dan hala tuju PAS Pahang

- Advertisement -
USTAZ ROSLI ABD JABAR (URAJ), Adun Tanjung Lumpur sekali lagi dipilih oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk menerajui bahtera perjuangan PAS Pahang selaku Pesuruhjaya.
 
Mesyuarat pertama pasca Muktamar Tahunan PAS Ke 65 di Temerloh 13 Julai lalu telah berjaya membentuk kabinet baru Badan Perhubungan PAS Pahang (BPPNP). Beberapa perubahan ketara dilakukan dalam struktur organisasi BPPNP berbanding sessi lalu.
 
Bagi mendapatkan gambaran sebenar dan hala tuju PAS Pahang sesi 2019-2021, kami telah berjaya melangsungkan satu temuramah dengan beliau. Ikuti temubual bersama Wartawan Harakahdaily, ARIS HAZLAN ISMAIL (AHI):
______________
 
AHI: Alhamdulillah sekali lagi Yang Berhormat Ustaz telah diberi kepercayaan mengetuai PAS Pahang. Bagaimana ustaz melihat pencapaian Badan Perhubungan PAS Pahang sebelum ini?
URAJ: Yang pertama saya mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat pada sesi lepas sama ada AJK Harian dan juga semua jawatan kuasa BPPNP yang telah menjalankan amanah dengan baik sehingga berjaya melonjakkan PAS ke tahap yang lebih baik dengan pencapaian tertinggi dari sudut jumlah kerusi pilihanraya yang dimenangi dalam sejarah perjuangan PAS Pahang.
 
AHI: Adakah Yang Berhormat berpuas hati dengan pencapaian ini?
URAJ: Ya saya sangat berpuas hati dengan khidmat semua terutama Jawatankuasa Harian BPPNP yang saya sifatkan sebagai sebuah team yang sangat mantap dan sangat bekerjasama. Mereka adalah rakan pasukan saya yang sentiasa bekerja keras dalam usaha untuk mencapai matlamat strategi PAS Pahang.
 
AHI: Umum melihat pembentukan kabinet baru BPPNP bagaikan  satu revolusi apabila berlaku perubahan pada kebanyakan posisi?
URAJ: Perubahan yang berlaku dalam pucuk kepimpinan PAS Pahang adalah kerana, Pertama, seiring dengan PAS Pusat yang turut melakukan perubahan yang besar samada diperingkat JK Harian dan juga ketua potfolio.
 
Kedua, PAS Pahang mempunyai aset tokoh yang ramai, terutama golongan-golongan muda maka saya kira sampailah masanya untuk PAS Pahang manfaat tenaga dan kepakaran mereka untuk membantu PAS Pahang.
 
Ketiga, perubahan ini juga adalah bertujuan untuk mamantapkan lagi organisasi dan gerakkerja PAS Pahang kerana setiap penjawat akan menumpukan pada ruang kerja yang lebih kecil ini adalah kerana penjawat lama agak terbeban dengan pelbagai tugas di dalam potfolio mereka. Namun kini tugasan menjadi lebih kecil dengan ramainya penjawat sama ada ketua atau AJK setiap potfolio hasil gandingan antara yang baru dan yang lama.
 
Keempat, Saya juga perlu melihat kehadapan, dalam memastikan PAS Pahang terus beraksi dengan kepimpinan yang segar dan bertenaga maka muka2 baru ini perlu diketengahkan agar generasi kepimpinan PAS Pahang terus subur.
 
Kelima, perubahan ini juga bukannya menyingkirkan mereka tetapi untuk pembahagian tugas yang lebih tersusun mengikut kemampuan, kepakaran dan strategi yang lebih berkesan. Tiada yang tersingkir melainkan semua penjawat yang lepas diberikan tugas dan menjawat jawatan dalam pecahan bidang tugas yang lebih kecil dan pasti nya lebih berkesan dari sudut hasilnya.
 
Keenam, PAS Pahang juga tidak mahu dilihat sebagai ketandusan kepimpinan, walaupun  penjawat yang lalu telah bertugas dengan cemerlang. Namun perubahan kepada muka baru ini juga adalah tanda kecemerlangan PAS Pahang yang berjaya menampilkan lebih ramai pemimpinan berkarisma dan berkebolehan.
 
AHI: Untuk ke hadapan, apa mesej dan harapan Yang Berhormat untuk PAS Pahang?
URAJ: Harapan saya PAS Pahang terus melangkah gagah mencipta kecemerlangan demi kecemerlangan. Dalam era perpaduan ini, PAS berhadapan dengan bentuk cabaran yang lebih besar dan agak berbeza berbanding masa lampau. 
 
Pastinya PAS Pahang mesti pertingkatkan kekuatan jentera parti. Manakala jentera parti atau amilin pula mestilah sentiasa dipertingkatkan kekuatan mereka dari sudut fizikal dan kekuatan ruhiyyah. Kerana itu semua kepimpinan Pahang sesi baru ini mesti bersedia untuk dikerahkan tenaga dan akal mereka lebih kuat berbanding dulu.
 
AHI: Semoga Yang Berhormat Ustaz akan sentiasa bertenaga dalam memacu bahtera PAS Pahang.
URAJ: Ya, terima kasih. Semoga Allah S.W.T kurniakan kekuatan kepada kami untuk terus memandu PAS Pahang kepada kejayaan demi kejayaan. – HARAKAHDAILY 16/7/2019
- Advertisement -