Isytihar harta patut diikat punca kuasa jelas

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: PAS secara prinsip menerima baik cadangan untuk mewajibkan pengisytiharan harta oleh Ahli Parlimen dan tidak sebagaimana persepsi cuba diberikan yang kononnya PAS menolak usul berkaitan.
 
Bahkan, selepas sesi penggulungan oleh Menteri setelah usul tersebut dibentangkan, tiada proses undian belah bahagi dijalankan sekali gus membuktikan pada prinsipnya PAS tidak menolaknya di Parlimen semalam.
 
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, usul tersebut kesannya hanya terhad dalam lingkungan bidang kuasa Speaker Dewan Rakyat semata di mana ianya juga terdedah kepada manipulasi.
 
Sedangkan PAS tegasnya, meminta ia dimasukkan sebagai satu peruntukan undang-undang melalui pindaan Akta dibawah Lembaga Hasil Dalam Negeri atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
 
“Dengan cara ini lebih kukuh dan mempunyai sumber kuasa. Kalau setakat di Dewan Rakyat, akan berlaku Ahli Parlimen yang kaya raya boleh buat main-main sahaja, tidak isytihar.
 
“Kerana habis teruk (hukumannya) kena hadap ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Ahli Parlimen yang setakat boleh gantung kehadiran mesyuarat saja,” ujarnya menjustifikasikan penolakan itu.
 
Malah menurut Ahmad Amzad, terdapat Ahli Parlimen yang terlebih dahulu bertindak memindahkan hartanya kepada pihak ketiga sebelum isytihar sehingga direkod tidak memiliki aset.
 
Selain itu jelas beliau, PAS juga mahu menekankan aspek yang mesti diperhalusi dari usul wajib itu antaranya melibatkan keselamatan keluarga Ahli Parlimen jika aset mereka didedahkan kepada orang ramai.
 
“Kerana ada manusia yang jenis khianat dan dengki tak boleh tengok orang lebih. Di situlah timbul Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man membacakan hadis tak galak beritahu orang ramai nikmat yang Allah beri kerana ada pendengki,” terangnya. 
 
Katanya, pendirian PAS mengenai pengisytiharan harta ke arah meninggikan lagi integriti bukan perkara baru sebagaimana ia telahpun pernah dinyatakan oleh beberapa pimpinan parti sebelum ini.
 
“Pada asasnya, kewajipan mengisytiharkan harta sepatutnya hanyalah kepada mereka yang diberi kuasa Eksekutif kerana mempunyai ruang untuk melakukan rasuah. Iaitulah para Menteri, Timbalan Menteri, mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan.
 
“Usul untuk mewajibkan semua sekali Ahli Parlimen dikatakan bertujuan memberikan persepsi kepada rakyat bahawa ahli politik Malaysia adalah telus. Walhal yang lebih penting adalah kerajaan jangan melakukan perkara perkara yang menimbulkan syak wasangka rakyat.
 
“Miisalnya campur tangan dalam pendakwaan kes rasuah Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang berakhir dengan pengguguran kes rasuah berkenaan. Ahli Parlimen Pembangkang tiada kuasa buat keputusan apa-apa.
 
“Peruntukan tahunan pun cuma RM100,000 berbanding RM3.8 juta setahun yang diperolehi oleh setiap Ahli Parlimen Kerajaan,” hujahnya. – HARAKAHDAILY 2/7/2019
- Advertisement -