Ada apa dengan Matrikulasi?

BAHANG panas dari isu pertikaian program matrikulasi ini menarik minat kita untuk mengimbau semula sejarah dan perkembangan berkenaan program yang banyak memberi manfaat kepada anak Bumiputera sebelum menjejak kaki ke universiti tempatan. Ianya satu persediaan yang cukup baik selama setahun sehingga setahun setengah bagi anak-anak Bumiputera melayari kehidupan sebagai mahasiswa.
 
Program matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini diwujudkan pada tahun 1998 hasil cetusan idea Dato’ Seri Najib Razak yang ketika itu Menteri Pendidikan. Ia adalah satu program persediaan bagi pelajar Bumiputera untuk melayakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda di IPT dalam bidang sains, teknologi dan sastera ikhtisas. Program ini adalah berdasarkan keperluan semasa bagi menampung jumlah pertambahan pelajar cemerlang.
 
Hasil daripada Mesyuarat Jemaah Menteri 10 Mac 1999, program matrikulasi pun dimulakan. Dari sudut perlembagaan, program matrikulasi ini adalah dilindungi oleh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan perizaban tempat pengajian ke universiti awam, malah ke mana-mana universiti, kolej dan institusi pendidikan lain.
 
Apa yang menarik, kumpulan pertama atau perintis program ni pada tahun 1999 adalah terdiri daripada pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM). Mereka dipilih melalui ujian kelayakan khas sebaik shaja tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Di peringkat awal ini sememangnya pelbagai cabaran telah dilalui oleh pihak kementerian, pengurusan, ibu bapa dan pelajar sendiri. Pada mulanya pelajar ini ditempatkan secara sementara di Kolej Yayasan Pendidikan MARA, Bangi kerana ketika itu belum ada bangunan Kolej Matrikulasi yang telah siap.
 
Pada tahun 1999, Kolej Matrikulasi Melaka (KMM) dan Kolej Matrikulasi Labuan (KML) menjadi dua kolej pertama yang siap. Pengambilan pertama bagi pelajar dilakukan untuk jurusan Sains dan Perakaunan bagi tempoh pengajian 1 tahun 6 bulan atau 3 semester. Pada tahun 2000, 3 buah kolej matrikulasi lagi beroperasi di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perlis. Beberapa kolej baru mulai beroperasi pada tahun 2000, 2003 dan 2010 termasuk Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh), Kolej Matrikulasi Perak (KMPk), Kolej Matrikulasi Johor (KMJ), Kolej Matrikulasi Kedah (KMK) dan Kolej Matrikulasi Selangor (KMS).
 
Bermula tahun 2002 juga, program ni melakukan perubahan tempoh masa pengajian dari 1 tahun 6 bulan kepada 1 tahun (Program Matrikulasi Satu Tahun-PST). Pada tahun 2008, Program Matrikulasi Dua Tahun (PDT) bagi jurusan Sains diperkenalkan khas kepada pelajar Bumiputera.
 
Visi program matrikulasi ini ialah menjadi penjana unggul pelajar bumiputera berkualiti ke institusi pengajian tinggi dalam bidang sains, teknologi dan profesional menjelang 2020. Manakala, misinya adalah membangunkan potensi pelajar Bumiputera dalam bidang sains, teknologi dan profesional melalui pendidikan pra-universiti yang berkualiti untuk melahirkan modal insan yang cemerlang.
 
Pada mulanya ia bertujuan khas untuk Bumiputera sahaja, namun bermula  sesi 2003/2004, program ini dibuka kuotanya sebanyak 10 peratus kepada pelajar bukan Bumiputera. Kouta 10 peratus ini diperkenalkan kerana ianya juga selari dengan Perlembagaan Persekutuan mengenai sebahagian daripada hak istimewa orang bukan Melayu/Bumiputera. Selain tu juga, kuota ni juga selaras dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara inklusif serta saksama yang mana semua rakyat Malaysia ada peluang meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi.
 
Isu matrikulasi ini kembali panas di peringkat nasional apabila bermula dengan kenyataan Tun Mahathir dipetik dalam portal MalaysiaKini bertarikh 6 Mei 2019 yang mengatakan bahawa matrikulasi ini adalah pintu belakang untuk orang Melayu masuk ke universiti. Menurutnya lagi, orang Melayu tidak berminat dengan STPM, dan oleh itu matrikulasi diperkenalkan. Kenyataan beliau ini menyebabkan banyak kritikan yang diterima. 
 
Seterusnya, kenyataan dari Presiden GERAKAN, Dato’ Dr Dominic Lau mengkritik tindakan kerajaan tidak menyelesaikan masalah dan tidak adil bagi kaum bukan bumiputera. Di sebalik kritikan itu, Dato’ Dominic Lau menekan agar kerajaan memansuhkan program matrikulasi serta menjadikan kelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai satu-satunya kaedah kemasukan pelajar ke universiti awam.
 
Kenyataan Ini telah mendapat respon Dr Maszlee Malik selaku Menteri Pendidikan, namun malangnya tindakan beliau dikecam hebat oleh sesetengah pihak yang dilihat ingin menangguk di air keruh. Mereka adalah dari kumpulan yang sama dilihat sering mempertikaikan hak hak keistimewaan Bumiputera sejak kebelakangan ini, dan mereka seharusnya memahami semula kontrak sosial yang termaktub dalam perlembagaan dan menghormati perpaduan kaum yang selama ini terbina sejak dulu lagi. 
 
Di dalam berhadapan kemelut ini, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menyokong penuh kenyataan Timbalan Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ir Hj Khairil Nizam Khirudin dalam portal HarakahDaily bertarikh 15 Mei 2019 yang bersedia untuk duduk semeja bersama GERAKAN berbincang menghasilkan solusi terbaik untuk kepentingan masa depan negara kita. 
 
Namun begitu adalah diharapkan agar kerajaan terus mempertahankan program yang cukup baik ini dan apapun keputusan kerajaan selepas ini supaya dapat terus membela nasib anak muda yang berada dalam golongan B40 yang sebenarnya, majoriti golongan B40 adalah Melayu dan Bumiputera. Jadinya, kuota matrikulasi perlu dikekalkan kerana ia juga selaras dengan faktor sosio-ekonomi yang mana Melayu dan Bumiputera masih ketinggalan jauh dari segi pendapatan. 
 
“Islam Memimpin” 
 
MOHD SHAHRIZAN AHMAD FUAT
Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional
DPPN Perak
 
*Penulis merupakan lepasan Program Matrikulasi KPM (Sains Fizikal) Sesi 2000/2001 di Kolej negeri, Seremban.