Muslimat cakna mangsa kebakaran di Pmtg Pauh

PERMATANG PAUH: Kebakaran yang berlaku ketika hujan lebat dan kilat kuat telah menyebabkan kemusnahan sama sekali terhadap rumah dua tingkat di Mukim 8, Tanah Liat, di sini petang semalam.
 
Kejadian berlaku amat pantas ketika orang ramai sibuk menyediakan persiapan berbuka puasa itu menyebabkan mangsa, Azizah Ahmad dan keluarganya hilang kediaman dan tinggal sehelai sepinggang.
 
Tiada harta benda mahupun dokumen penting sempat diselamatkan, namun mangsa dan anak-anak serta cucu yang tinggal bersamanya dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.
 
Memahami nasib yang menimpa, Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Kawasan Permatang Pauh, Fatimah Abdul Hamid mengetuai anggotanya menyantuni mangsa sekeluarga.
 
Hadir sama Ketua Muslimat PAS Permatang Pauh  Ustazah Nor Hapiza Saad yang memberikan motivasi dan menitipkan kesabaran buat keluarga mangsa terhadap ujian menimpa mereka menjelang Syawal ini.
 
Sebagai meringankan beban, sedikit sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian seperti tuala, telekung, kit penjagaan diri dan barang makanan telah disampaikan kepada keluarga mangsa. – HARAKAHDAILY 30/5/2019
IMG 20190530 WA0004