Jejak Ramadan PAS Nibong Tebal kasihi asnaf

NIBONG TEBAL: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Nibong Tebal telah mengadakan Jejak Kasih Ramadan yang memberikan sumbangan kepada golongan asnaf, hari ini.
 
Program tahunan yang bertujuan meringankan beban hidup dan menyuntik keceriaan Syawal golongan itu telah dianjurkan dengan kerjasama Muslimat PAS dan PASTI Nibong Tebal.
 
Menurut Pengarah Program, Aziz Ramli, inisiatif itu menjadi wadah kebajikan PAS walaupun bukan parti pemerintah untuk tetap mendekati permasalahan golongan yang memerlukan.
 
Selain itu katanya, menerusi program berkenaan juga menjadi kesempatan pihak PAS Nibong Tebal untuk lebih cakna isu-isu setempat dan masyarakat sekeliling serta menggerakkan keprihatinan.
 
Yang DiPertua PAS Nibong Tebal, Zamri Latif memaklumkan, sebanyak RM32,000 dapat dikumpulkan dan membolehkan agihan kepada 175 penerima dari 14 Cawangan dan PASTI, di sini.
 
Hadir sama pada majlis tersebut adalah Ketua Urusan Ulamak PAS Nibong Tebal, Ustaz Rijjaludin Yahya dan Ketua Muslimat PAS Nibong Tebal, Norliana Yusuf. – HARAKAHDAILY 26/5/2019