Ambang konflik kaum dan bunuh beramai-ramai?

- Advertisement -
BARU berpeluang membaca tiga tulisan panjang lebar Ahli Parlimen Selayang yang juga bekas Bendahari PKR Malaysia, William Leong Jee Ken, yang disiarkan oleh portal berita Malaysia  Kini selama tiga hari berturut-turut mengenai keadaan politik negara.
 
Tiga tulisan panjang lebar William Leong ini adalah:
(1) Artikel bertajuk “Divisive politics: BERSATU-Umno/PAS contention for Malay hegemony” yang disiarkan pada 23 Mei 2019.
(2) Artikel bertajuk “Divisive politics: Strategic actions of the elites” yang disiarkan pada 24 Mei 2019.
(3) Artikel bertajuk “Rekindling our sense of shared identity” yang disiarkan pada 25 Mei 2019.
 
Ringkasan artikel pertama
 
Hanya dengan membaca permulaan kepada artikel pertama William Leong, pembaca yang peka akan cepat menangkap hala tuju sebenar beliau. Ini kerana artikel ini dimulakan dengan memuatkan petikan ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad dari BERSATU pada 29 Disember 2018, petikan ucapan Dato’ Seri Mohamad Hasan dari Umno pada 28 Februari 2019 dan petikan ucapan Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dari PAS pada 17 Februari 2019.
 
Petikan ucapan Tun Dr Mahathir, Dato’ Seri Mohamad dan Dato’ Seri Abdul Hadi ini digunakan oleh William Leong bagi menunjukkan kebangkitan politik perkauman dan keagamaan di Malaysia yang berpunca daripada persaingan BERSATU-Umno/PAS untuk hegemoni Melayu. 
 
Seterusnya, petikan ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR pada 18 Mac 2019, mengenai dasar-dasar needs-based, dikemukakan bagi menunjukkan hanya Dato’ Seri Anwar sesatunya suara tunggal untuk politik inklusif berbilang kaum.
 
William Leong menghujahkan bahawa perkembangan mutakhir politik Malaysia menunjukkan tanda-tanda ia akan mengalami konflik perkauman yang didakwa boleh dibuktikan melalui kewujudan lima faktor berikut:
(1) Major  structural  change: Perubahan kerajaan yang mewujudkan ketidakpastian dan kebimbangan.
(2) Historical  memories  of  inter-ethnic  grievances: Ingatan kepada rusuhan kaum dalam Peristiwa 13 Mei.
(3) State  institutions  that  promote  ethnic  intolerance: Institusi negara yang mengamalkan dasar perkauman.
(4) Manipulation  by  political  entrepreneurs: Ahli politik yang mengapi-apikan semangat perkauman.
(5) Interethnic  competition  over  resources  and  rights: Persaingan antara kaum ke atas sumber dan hak.      
 
Ringkasan artikel kedua
 
Artikel kedua pula meneruskan agenda menakut-nakutkan rakyat dengan menghuraikan mengenai bagaimana persaingan BERSATU-Umno/PAS untuk ketuanan Melayu boleh mencetuskan konflik perkauman di negara ini.
 
Artikel ini sekali lagi dimulakan dengan kenyataan dan tindakan perkauman Tun Dr Mahathir yang diikuti oleh kenyataan dan tindakan perkauman Umno/PAS. Begitupun, yang menjadi mangsa utama dalam artikel ini ialah Umno/PAS yang didakwa memperjuangkan diskriminasi perkauman dan yang didakwa tidak menganggap bukan Melayu bukan Islam sebahagian daripada moral sejagat mereka. 
 
Lebih besar implikasinya lagi ialah bila William Leong mendakwa Umno/PAS menerima ‘genocide’ (pembunuhan beramai-ramai) dan meradikalkan pengikut mereka hanya kerana mereka menentang Statut Rom yang menjenayahkannya. 
 
William Leong malah memetik 10 fasa ‘genocide’ yang dikemukakan oleh Gregory H Stanton dari George Mason University bagi menunjukkan bahawa ‘genocide’ sudah terlalu hampir untuk berlaku di Malaysia, di mana 10 fasa ini adalah: 
(1) Classification; 
(2) Symbolisation; 
(3) Discrimination; 
(4) Dehumanisation; 
(5) Organisation; 
(6) Polarisation; 
(7) Preparation; 
(8) Persecution; 
(9) Extermination; 
(10) Denial.
 
Mengikut William Leong, Malaysia berada pada fasa 6 daripada 10 fasa ‘genocide’ ini, iaitu pada fasa ‘Polarisation’, dan hanya dipisahkan oleh satu fasa sahaja lagi, iaitu ‘Preparation’, sebelum ‘genocide’ didakwa akan berlaku.
 
Selain elit politik, William Leong juga menyalahkan elit ekonomi dan elit birokrat atas perkara ini kerana mereka didakwa akan menghalang, dengan segala cara, PH daripada melaksanakan agenda reformasinya.
 
Diberikan juga contoh ‘genocide’ yang berlaku di Rwanda, Sri Lanka dan Bosnia yang dianalisa oleh James D Fearon dan David D Laitin dari Stanford University yang didakwa berpunca daripada retorik dan tindakan hampir sama dengan apa yang dikatakan sedang dibuat di Malaysia. 
 
Ringkasan artikel ketiga
 
Artikel ketiga William Leong pula menghuraikan tujuh tindakan segera yang, mengikut beliau, perlu diambil oleh PH bagi mengelakkan konflik perkauman dari berlaku di Malaysia, iaitu:  
(1) PH mesti melahirkan keputusan ekonomi awal yang boleh dilihat, termasuk dengan mewujudkan pakej stimulus bagi merangsang aktiviti ekonomi.
(2) PH mesti melawan retorik Umno/PAS.
(3) PH mesti berhenti memainkan politik perkauman.
(4) PH mesti membuang dari psikik rakyat stereotaip penjajah.
(5) PH mesti menyediakan naratif lengkap bahawa perubahan dalam dasar-dasar tindakan afirmatif adalah diperlukan.
(6) PH mesti mengambil langkah-langkah konkrit untuk membina masyarakat inklusif, khususnya dengan melaksanakan konsep kebebasan dan kesaksamaan, termasuk dari segi agihan dan peluang.
(7) PH mesti menunjukkan kepimpinan berkesan bagi menggerakkan keinklusifan sosial dan membina satu masyarakat berkongsi (a shared  society).
 
Tindakan Segera 4 dihuraikan dengan panjang lebar oleh William Leong dan sekali lagi disulami dengan kritikan keras ke atas Tun Dr Mahathir yang didakwa masih berpegang dengan pendirian beliau sewaktu beliau menulis buku The  Malay  Dilemma dahulu. 
 
Turut dikritik adalah Menteri-Menteri seperti Dr Maszlee Malik yang didakwa masih meneruskan dasar-dasar dan program-program BN sedangkan data-data dari Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada 2015 didakwa menunjukkan golongan Bumiputera sudah jauh mengatasi kaum Cina dan India dalam kategori penerima pendapatan.
 
Tulisan tidak bertanggungjawab
 
Walaupun tidak dinyatakan dengan secara tersurat tujuan sebenar artikel-artikel ini ditulis, tetapi gambaran yang dapat dilihat adalah artikel-artikel ini merupakan satu serangan terbuka kepada Tun Dr Mahathir mungkin dengan objektif untuk meningkatkan tekanan bagi menyegerakan proses peralihan kuasa.
 
Begitupun, walaupun artikel-artikel ini cuba disulami dengan pelbagai elemen ilmiah, termasuk petikan daripada tulisan-tulisan sarjana-sarjana politik antarabangsa, ternyata sekali ia bukanlah artikel-artikel yang kuat malah berpotensi untuk menakut-nakutkan rakyat semata-mata tanpa sebarang pembuktian yang nyata.
 
Apatah lagi bila artikel-artikel ini, walaupun fokus utamanya adalah lebih menjurus kepada permasalahan dalaman PH, memuatkan tuduhan-tuduhan yang terlalu teruk ke atas Umno dan PAS sehingga memungkinkan William Leong boleh disaman di mahkamah di atas tuduhan-tuduhan yang dilemparkan itu.
 
Risau saya bila melihatkan serangan terbuka PKR kepada Tun Dr Mahathir oleh pemimpin PKR ini sesudah kritikan terbuka kepada Tun Dr Mahathir sebelumnya telah dibuat oleh beberapa orang pemimpin DAP, apatah lagi bila tulisan William Leong ini boleh dikira sebagai satu tulisan yang amat tidak bertanggungjawab.
 
Lihatlah sahaja komen-komen provokatif pembaca susulan tulisan William Leong ini, antaranya adalah kenyataan bahawa “we feel that they are planning to do something bad to the non-Malays in order to gain full control of everything by force and brutality” dan ramalan bahawa “it is a matter of time they will slaughter the Chinese again”.
 
Apakah ini ada kaitan dengan penyiaran besar-besaran laporan Peristiwa 13 Mei baru-baru ini? – HARAKAHDAILY 26/5/2019
- Advertisement -