Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (19)

- Advertisement -

وَلَبِثُواْ فِي كَهۡفِهِمۡ ثَلَٰثَ مِاْئَةٖ سِنِينَ وَٱزۡدَادُواْ تِسۡعٗا

- Advertisement -

“Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka: Tiga ratus tahun dengan kiraan Ahli Kitab), dan sembilan lagi (dengan kiraan kamu).”

قُلِ ٱللَّهُ أَعۡلَمُ بِمَا لَبِثُواْۖ لَهُۥ غَيۡبُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۖ أَبۡصِرۡ بِهِۦ وَأَسۡمِعۡۚ مَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَلِيّٖ وَلَا يُشۡرِكُ فِي حُكۡمِهِۦٓ أَحَدٗا
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah jua yang mengetahui tentang masa mereka tidur; bagiNya lah tertentu ilmu pengetahuan segala rahsia langit dan bumi; terang sungguh penglihatanNya (terhadap segala-galanya)! Tidak ada bagi penduduk langit dan bumi pengurus selain daripadaNya dan Ia tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam hukumNya.”

Penekanan utama ayat:

●     Gua

Ayat ini merupakan satu di antara 5 tempat disebutkan perkataan Kahf. Kerana dominasi perkataan ini, Al-Kahf menjadi nama bagi surah ini.

Al-Kahf membawa masuk gua. Namun dalam ayat 40 surah at-Taubah, gua diistilahkan dengan Ghar (الغار). Bezanya, Al-Kahf adalah gua yang mendatar dan luas di dalam seperti sebuah bilik, manakala al-Ghar lebih menyerupai lubang sarang haiwan yang semakin mengecil di dalam.

●     Tempoh tidur

Walaupun dalam ayat sebelum ini tuhan menceritakan perbezaan pandangan mengenai tempoh tidur mereka, namun ayat ini Allah nyatakan tempoh sebenar mereka tidur adalah selama 309 tahun. Walau bagaimanapun, tetap ditegaskan tidak ada apa-apa dengan angka. Yang lebih penting untuk diperhati adalah kuasa tuhan untuk melakukan yang di luar logik akal manusia.

●     Alam ghaib

Alam ghaib merujuk kepada alam selain alam nyata dimensi manusia hidup. Alam ghaib meliputi alam jin, alam roh, alam barzakh termasuklah alam akhirat.

Alam boleh diterjemahkan sebagai dimensi kehidupan. Setiap alam memiliki hukum fizik dan sistem yang berbeza. Alam juga boleh berkongsi tempat dan masa yang sama tanpa berlaku pertembungan.

●     Batas kekuasaan tuhan

Semua alam ini adalah ciptaan Allah S.W.T. Dia berkuasa mentadbir beberapa alam sekali gus, dan berkuasa meletakkan makhlukNya pada alam-alam yang berbeza. Perkara ini menjawab persoalan-persoalan yang tidak logik dari sudut saintifik. Sains hari ini sekadar mengukur logik mengikut hukum alam nyata. Sedangkan tuhan memiliki segala alam sama ada di langit mahupun di bumi. Tiada sesiapa mampu memiliki kuasa sepertiNya. Justeru sains tidaklah boleh menjawab semua perkara yang berlaku.

Ibrah akhir zaman:

●     Perubahan masa di akhir zaman

Nas-nas mengenai akhir zaman banyak mendatangkan masa sebagai salah satu unsur. Ada yang dinyatakan dari sudut bilangan tahun, bulan atau hari, dan ada juga yang dinyatakan dari sudut kronologi sebelum dan selepas.

Terdapat satu hadis menerangkan keadaan masa yang agak pelik mengenai tempoh pemerintahan Dajjal. Sabda Rasulullah S.A.W:

أربعون يومًا : يومٌ كسنةٍ ويومٌ كشهرٍ ، ويومٌ كجمعةٍ ، وسائرُ أيَّامِه كأيَّامِكم فقلنا : يا رسولَ اللهِ : هذا اليومُ الَّذي كسَنةٍ أتكفينا فيه صلاةُ يومٍ وليلةٍ ؟ قال : لا ، اقدُروا له قدرَه ،

“40 hari. Sehari umpama setahun, sehari umpama sebulan, sehari umpama seminggu dan baki lagi umpama hari-hari biasa. Sahabat bertanya apakah cukup untuk kami solat sehari semalam pada hari umpama setahun itu? Jawab Baginda: Tidak, bahkan sukatlah dengan kadar hari biasa.”

[HR Abu Daud]

Bagaimana mungkin masa sehari umpama setahun? Mengikut hukum alam kita, tidak logik. Namun jika kita sandarkan kepada kuasa tuhan, tiada yang mustahil. Allah memiliki dimensi-dimensi alam yang pelbagai. Boleh jadi manusia akan dipindahkan sementera ke dimensi lain yang memiliki sistem masa yang berbeza. Atau Allah mewujudkan fenomena baru di alam nyata ini sehingga mengubah sementara hukum alam.

Allah boleh melakukannya. Sejarah telah menunjukkan kisah peperangan Nabi Yusha’ bin Nun dalam misi membuka Baitul Maqdis. Allah menghentikan matahari buat sementara waktu supaya peperangan boleh diteruskan sehingga Baitul Maqdis berjaya dibuka. Sabda Rasulullah S.A.W:

إِنَّ الشَّمْسَ لَمْ تُحْبَسْ لِبَشَرٍ إِلَّا لِيُوشَعَ لَيَالِيَ سَارَ إِلَى بَيْتِ الْمَقْدِسِ

“Matahari tidak ditahan untuk manusia melainkan untuk Yusha’ pada malam dia mara membuka Baitul Maqdis.”

[HR Ahmad]

Selain masa, banyak lagi perkara di luar logik akal manusia yang Allah boleh lakukan. Ada yang diberikan kepada para Nabi, disebut sebagai mukjizat. Ada yang diberi kepada orang beriman, dinamakan sebagai karamah. Ada juga yang diberikan kepada orang kafir, dipanggil istidraj.

Justeru keimanan kita mestilah lebih tinggi dari kepercayaan kepada logik akal. Itulah maksud beriman dengan perkara ghaib, perkara yang tidak boleh diukur dengan akal manusia yang terbatas.

●     Kerajaan syirik

Kisah Ashabul Kahfi ditutup dengan menyatakan kekuasaan kerajaan tuhan dan kelemahan kerajaan-kerajaan lain. Umat Islam perlu menyedari perkara ini, dan berusaha untuk menjadikan kerajaan mereka sebagai kerajaan yang tidak syirik kepada kerajaan Allah. Mentadbir kerajaan dengan cara mengikut segala peraturan-peraturan yang Allah telah tetapkan di dalam ajaran Islam.

Malangnya hari ini manusia sedang dibawa kepada zaman sekularisme. Ia adalah ideologi politik yang memisahkan agama daripada urusan pentadbiran negara. Segala peraturan mesti ditentukan oleh akal, sama ada secara demokrasi ataupun autokrasi, kapitalisme ataupun komunisme. Walaupun semua ideologi ini telah terbukti gagal, namun ia tetap terus ditegakkan bagi menghalang orang beralih mencari sistem Islam sebagai alternatif.

Para orientalis telah mengkaji mengenai tabiat Islam. Pemerintahan berasaskan Islam mesti dihalang supaya Islam tidak berkembang. Ini sejajar sabda Rasulullah S.A.W:

لَتُنْقَضَنَّ عُرَى الإِسْلَامِ عُرْوَةً عُرْوَةً، فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا، وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا: الحُكْمُ، وَآخِرُهُنَّ: الصَّلَاةُ

“Simpulan Islam akan dirungkai satu persatu. Setiap kali satu simpulan dirungkai, manusia akan berpaut dengan simpulan yang seterusnya. Simpulan pertama yang akan dirungkai adalah pemerintahan, yang terakhir adalah solat.”

[HR Ahmad]

Hadis di atas menjelaskan matlamat sebenar musuh Islam. Mereka bukan sahaja ingin menafikan pemerintahan Islam, tetapi mereka mahu menghapuskan terus Islam dari muka bumi ini sehingga tidak ada seorangpun yang mengamalkannya. Akhirnya solat kita sendiri akan cuba diganggu walaupun ia adalah hak kebebasan individu untuk beragama.

Justeru umat Islam wajib memperjuangkan kerajaan Islam supaya tertegak dan mempertahankannya. Sudah menjadi perkara daruriyat (terdesak) untuk setiap orang Islam memainkan peranan mengembalikan kuasa politik Islam kembali ke puncak takhta, kerana dengan kuasa politik Islamlah agama ini akan terus dipelihara.

(ALANG IBN SHUKRIMUN) HARAKAHDAILY 24/5/2019
 

FB IMG 1558884907151

- Advertisement -