Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (6)

- Advertisement -

إِنَّا جَعَلۡنَا مَا عَلَى ٱلۡأَرۡضِ زِينَةٗ لَّهَا لِنَبۡلُوَهُمۡ أَيُّهُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗا

- Advertisement -

“Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.”

وَإِنَّا لَجَٰعِلُونَ مَا عَلَيۡهَا صَعِيدٗا جُرُزًا

“Dan sesungguhnya Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu (punah-ranah) sebagai tanah yang tandus.”

Penekanan utama ayat:

●     Keindahan ciptaan tuhan

Selain daripada Allah adalah ciptaanNya yang diistilahkan sebagai makhluk. Menurut qaul paling muktamad, semua makhluk di bumi disifatkan sebagai perhiasan, bererti cantik dan indah. Walau di mata zahir manusia ada yang hodoh dan jelek, tetapi jika dilihat dengan mata iman yang suci dan dikaji dengan akal yang murni, tidak ada ciptaan tuhan yang buruk hatta najis sekalipun.

●     Dunia adalah ujian

Salah satu antara empat tujuan manusia diwujudkan ke atas bumi ini adalah untuk diuji. Kebanyakan ujian dunia adalah dalam bentuk nikmat dan kesenangan. Hanya sedikit sahaja dalam bentuk azab dan kesusahan. Malangnya manusia hanya menganggap mereka diuji ketika ditimpa susah sahaja, menyebabkan mereka sering lupa tuhan ketika senang.

●     Semua akan binasa

Hakikat alam, semuanya akan binasa. Hanya zat Allah yang kekal selama-lamanya. Tiada siapa yang boleh menjamin sesuatu itu tidak akan rosak, walau sehebat manapun cara kita menjaganya. Semua itu tertakluk kepada kuasa tuhan, apakah, bilakah dan bagaimanakah penghujung setiap sesuatu. Maka janganlah terlalu menyibukkan diri menjaga sesuatu yang kita sendiri tidak mampu jamin akan selamat, sehingga melupakan peranan kuasa tuhan.

Ibrah akhir zaman:

Ayat ini juga merupakan satu antara 10 ayat pertama yang Rasulullah pesan agar membacanya bagi menyelamatkan diri daripada fitnah Dajjal. Modal utama yang Dajjal gunakan bagi memancing manusia mengikutinya adalah unsur materialistik. Tuhan berikan kelebihan kepada Dajjal memiliki kehebatan dari sudut keduniaan di saat tuhan uji makhluk yang lain dengan kesusahan hidup.

Pasca era enlightenment, Barat mula mengubah pemikiran daripada beragama (Kristian) kepada sekular yang berpaksi kepada materialisme. Pemikiran ini menganggap kebahagiaan hidup hanya boleh dicapai dengan memiliki kesenangan material semata-mata. Atas asas ini muncullah teori-teori ekonomi seperti Kapitalisme dan Komunisme.

Teori-teori ini telah membawa kepada kempen kolonialisasi antaranya bagi mencari bahan mentah seperti logam, emas, hasil pertanian dan petrol bagi menampung keperluan revolusi industri pertama dan seterusnya. Di samping itu, kolonialisasi turut membawa agenda doktrinisasi pemikiran negara terjajah kepada ideologi Sekular. Walhasil, dunia hari ini tidak kira samada negara tersebut didominasi oleh muslim ataupun tidak, masih lagi terbelenggu dengan sekularisme termasuklah negara kita.

Sekularisme adalah pemikiran yang memisahkan antara agama dan urusan dunia. Alasannya kerana menganggap agama adalah urusan spiritual sedangkan kita hidup di alam fizikal. Justeru agama tidak berada dalam dimensi yang lain dan tidak boleh dicampuraduk dengan urusan fizikal yang bersifat material. Lalu pemikiran materialisme yang berpaksi kepada kekayaan dunia dijadikan dasar.

Tuhan telah menjadikan hidup akhir zaman ini berlaku kemajuan sains dan teknologi yang amat pesat. Daripada revolusi industri pertama yang memperkenalkan jentera dan mesin berenjin bagi memaksimumkan output dan mengoptimumkan input dari kurun ke 17 hinggalah ke revolusi industri terkini (IR4.0) yang memperkenalkan konsep artificial intelligence atau sistem robotik yang boleh berfikir seperti manusia, kita boleh melihat manusia berada pada nikmat keduniaan yang sangat tinggi. Segala-galanya mudah diakses, segala-galanya di hujung jari.

Tetapi sedarkah kita, kesenangan ini sedikit sebanyak boleh memberi kesan kepada mentaliti manusia dengan menganggap mereka memiliki kuasa yang hebat sehingga tidak lagi berhajat kepada kuasa tuhan. Cerita-cerita berkait dengan iman, taqwa, akhlak, hari akhirat dan qadha qadar tidak lagi dipedulikan. Globalisasi telah mengakibatkan dunia menjadikan sekular Barat sebagai tamadun tunggal manusia akhir zaman.

Walau bagaimana hebat sekalipun ciptaan manusia, mereka tetap tidak boleh mengadakan benda yang tiada. Mereka hanya mengolah dan menyusun ciptaan tuhan yang telah tersedia (yang dinamakan sebagai hasil bumi atau bahan mentah) kepada satu bentuk yang lain. Justeru apabila ditakdirkan hasil bumi menjadi kurang, maka dengan sendiri teknologi hari ini musnah dan tidak lagi boleh digunakan. Sabda Rasulullah S.A.W:

إِنَّ قَبْلَ خُرُوجِ الدَّجَّالِ ثَلاَثَ سَنَوَاتٍ شِدَادٍ يُصِيبُ النَّاسَ فِيهَا جُوعٌ شَدِيدٌ يَأْمُرُ اللَّهُ السَّمَاءَ فِي السَّنَةِ الأُولَى أَنْ تَحْبِسَ ثُلُثَ مَطَرِهَا وَيَأْمُرُ الأَرْضَ فَتَحْبِسُ ثُلُثَ نَبَاتِهَا ثُمَّ يَأْمُرُ السَّمَاءَ فِي السَّنَةِ الثَّانِيَةِ فَتَحْبِسُ ثُلُثَىْ مَطَرِهَا وَيَأْمُرُ الأَرْضَ فَتَحْبِسُ ثُلُثَىْ نَبَاتِهَا ثُمَّ يَأْمُرُ اللَّهُ السَّمَاءَ فِي السَّنَةِ الثَّالِثَةِ فَتَحْبِسُ مَطَرَهَا كُلَّهُ فَلاَ تَقْطُرُ قَطْرَةٌ وَيَأْمُرُ الأَرْضَ فَتَحْبِسُ نَبَاتَهَا كُلَّهُ فَلاَ تُنْبِتُ خَضْرَاءَ فَلاَ تَبْقَى ذَاتُ ظِلْفٍ إِلاَّ هَلَكَتْ إِلاَّ مَا شَاءَ اللَّهُ‏.‏ قِيلَ فَمَا يُعِيشُ النَّاسَ فِي ذَلِكَ الزَّمَانِ قَالَ ‏التَّهْلِيلُ وَالتَّكْبِيرُ وَالتَّسْبِيحُ وَالتَّحْمِيدُ وَيُجْرَى ذَلِكَ عَلَيْهِمْ مَجْرَى الطَّعَامِ

“Sesungguunya sebelum keluar Dajjal akan berlaku 3 tahun yang sangat dahsyat. Manusia akan dilanda kelaparan yang teruk. Allah akan memerintahkan langit menghentikan satu per tiga hujan, dan memerintahkan bumi menahan satu per tiga tumbuhan. Pada tahun kedua, Dia akan memerintahkan langit menghentikan dua per tiga hujan, dan memerintahkan bumi menahan dua per tiga tumbuhan. Pada tahun ketiga, tuhan akan memerintahkan langit menghentikan keseluruhan hujan dan bumi menahan keseluruhan tumbuhan. Kesemua tanah akan kering kontang dan tandus. Sahabat bertanya apakah makanan manusia pada waktu itu? Baginda menjawab, tahlil takbir dan tahmid. Perkara tersebut akan dapat menggantikan makanan.”

[HR Ibn Majah]

Bermula saat itulah Dajjal muncul dengan segala teknologi maju kononnya bagi menyelamatkan manusia daripada kesusahan hidup.

Namun pertolongannya beserta dengaj pakej untuk kufur kepada Allah dan beriman kepadanya. Saat itu, mereka yang sudah terbelenggu dengan pemikiran materialistik mudah mengikut Dajjal. Sabda Rasulullah S.A.W:

فَيَأْتِي عَلَى الْقَوْمِ فَيَدْعُوهُمْ فَيُؤْمِنُونَ بِهِ وَيَسْتَجِيبُونَ لَهُ ، فَيَأْمُرُ السَّمَاءَ فَتُمْطِرُ ، وَالأَرْضَ فَتُنْبِتُ ، فَتَرُوحُ عَلَيْهِمْ سَارِحَتُهُمْ – الماشية – أَطْوَلَ مَا كَانَتْ ذُرًا – الأعالي والأسنمة – وَأَسْبَغَهُ ضُرُوعًا ، وَأَمَدَّهُ خَوَاصِرَ – كناية عن الامتلاء وكثرة الأكل – . ثُمَّ يَأْتِي الْقَوْمَ فَيَدْعُوهُمْ فَيَرُدُّونَ عَلَيْهِ قَوْلَهُ فَيَنْصَرِفُ عَنْهُمْ فَيُصْبِحُونَ مُمْحِلِينَ لَيْسَ بِأَيْدِيهِمْ شَيْءٌ مِنْ أَمْوَالِهِمْ .

“Dajjal akan mendatangi sesuatu kaum lalu menyeru supaya mengikutinya, lalu kaum tersebut mengikutinya. Maka dia memerintahkan langit untuk hujan dan bumi untuk mengeluarkan tumbuhan. Maka binatang-binatang peliharaan mereka menjadi gemuk dan sihat. Kemudian dia mendatangi sesuatu kaum lalu menyeru supaya mengikutinya, lalu kaum tersebut menolak dan meninggalkan Dajjal. Keesokan harinya mereka dapati tanaman mereka tidak menjadi.”

[HR Muslim]

Jalan untuk selamat adalah menghiasi diri dengan sifat zuhud, iffah dan qanaah. Zuhud bererti tidak meletakkan dunia dalam hati walau bagaimana kaya sekalipun. Iffah bererti menahan diri daripada mengharapkan apa sesuatu daripada makhluk. Qanaah pula mudah difahami dengan erti minimalisme, iaitu bercukupan dengan perkara sedikit.

Itulah peri pentingnya ilmu ihsan di dalam Islam, yang menjadi satu daripada tiga unsur utama agama ini selain Iman dan Islam. Ihsan juga dikenali sebagai akhlak ataupun tazkiyatul nafs, juga popular dengan istilah tasawwuf. Ia ilmu soal penjagaan hati spiritual dan emosional.

Sabda Rasulullah S.A.W:

إنَّ الدُّنيا حلوةٌ خَضِرة، وإنَّ الله مُستخلفكم فيها، فينظر كيف تعملُون؟ فاتقوا الدُّنيا، واتَّقُوا النِّساء؛ فإنَّ أوَّل فِتنة بني إسرائيل كانت في النِّساء

“Sesungguhnya dunia itu manis dan indah. Allah memberi kamu tanggungjawab untuk mentadbirnya. Maka beringatlah dalam menguruskannya. Waspadalah dengan dunia, dan waspadalah dengan wanita. Sesungguhnya ujian pertama terhadap bani Israel adalah pada wanita.”

[HR Muslim]

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 12/5/2019

 

- Advertisement -