Proses Pemutihan: Jangan zalimi penjawat awam

- Advertisement -
SAYA bersetuju sepenuhnya dengan kandungan kenyataan media Presiden PAS bertajuk “Jangan Musuhi Penjawat Awam” dan kenyataan media Dewan Pemuda PAS Malaysia bertajuk “Tiada Untungnya Sikap Memusuhi Penjawat Awam”.
 
Di peringkat nasional, penjawat awam adalah merujuk kepada perkhidmatan awam am Persekutuan, angkatan tentera, pasukan polis, perkhidmatan kehakiman dan perundangan, perkhidmatan pendidikan dan perkhidmatan awam bersama.
 
PH seharusnya sedar dalam beberapa pilihan raya kecil lalu, termasuk paling barunya di Rantau, keputusan menunjukkan undi penjawat awam, termasuk daripada angkatan tentera dan pasukan polis, tidak menyebelahi calonnya.
 
Sedikit sebanyak sudah tentulah penurunan di dalam sokongan penjawat awam kepada PH ini ada hubung kaitnya dengan persepsi bahawa PH dilihat mengambil pendekatan bercorak konfrontasi dengan mereka.
 
Kenyataan pemimpin PAN, Khalid Samad, mengenai kemungkinan berlakunya rampasan kuasa kerana angkatan tentera dan pasukan polis adalah institusi Melayu pasti sahaja mencuit jiwa kerana ia semacam meragui keprofesionalan mereka.
 
Paling baru adalah kenyataan pemimpin DAP, Dr Ong Kian Ming, dalam rancangan “Agenda AWANI” pada 17 April lalu yang menjadi tular susulan laporan mengenainya bertajuk “Kerajaan akan teruskan proses pemutihan dalam perkhidmatan awam”.
 
Untuk berlaku adil kepada Dr Ong Kian Ming, saya telah menonton sendiri keseluruhan wawancara beliau bersama Kamarul Bahrin Haron dalam rancangan yang berlangsung selama 25 minit 37 saat itu, tetapi ternyata laporan tular itu tidak salah.
 
Ini kerana di dalamnya Dr Ong Kian Ming menyebut betapa “ada banyak orang yang lebih berpihak kepada kerajaan yang lalu” dalam beberapa kementerian beserta contohnya, iaitu “Kementerian Komunikasi yang diketuai oleh Menterinya Gobind Singh”.
 
Pendedahan ini disertai pula oleh penegasan Dr Ong Kian Ming bahawa “kita (kerajaan) masih buat cleaning-up process (proses pembersihan) dan kita (kerajaan) perlu terus buat cleaning-up process (proses pembersihan) di sebahagian kementerian”.
 
Pendedahan dan penegasan Dr Ong Kian Ming ini adalah sesuatu yang perlu dipandang serius kerana, walaupun beliau hanyalah seorang Timbalan Menteri, kenyataan beliau ini adalah bukan mengenai kementeriannya tetapi bagi seluruh kerajaan.
 
Penjelasan tepat dan terperinci perlu diberikan mengenai “cleaning-up process (proses pembersihan)” membabitkan penjawat awam ini kerana kenyataan Dr Ong Kian Ming hanya mengaitkannya dengan “lebih berpihak kepada kerajaan yang lalu”.
 
Larangan penjawat awam mengambil bahagian dalam aktiviti politik ada dijelaskan dalam Seksyen 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002, tetapi Sub-Seksyen 5 membenarkan mereka menjadi ahli biasa parti politik.
 
Selama mana “menjadi ahli biasa parti politik” tidak mengganggu keprofesionalan penjawat awam, tiada tindakan boleh dikenakan ke atas mereka, melainkan jika Peraturan-Peraturan Pegawai Awam ini dipinda bagi melarang mereka menjadi ahli biasa parti politik.
 
Apatah lagi bila Perkara 132 (2A) Perlembagaan Persekutuan menyebut penjawat awam “memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong” manakala Perkara 135 menyebut sekatan mengenai pembuangan kerja dan penurunan pangkat mereka.
 
Melakukan “cleaning-up process (proses pembersihan)” ke atas penjawat awam jika dibuat semata-mata kerana pandangan politik mereka jelas merupakan satu perlanggaran kepada undang-undang malah bercanggah dengan Manifesto PH sendiri.
 
Ini kerana Janji 21 Manifesto PH memperuntukkan dengan nyata bahawa “sektor perkhidmatan awam mestilah diberi penghormatan yang sewajarnya agar mereka boleh menjalankan tanggungjawab dengan profesional, tanpa tekanan atau ancaman”.
 
Masa sama, kenyataan pemimpin BERSATU, Dato’ Dr Marzuki Mohamad, bahawa, tidak seperti di beberapa buah negara Arab, penjawat awam di negara kita adalah profesional yang telah dilatih untuk berkhidmat kepada negara dan kerajaan yang dipilih, patut dipuji. – HARAKAHDAILY 20/4/2019
- Advertisement -