PAS Teluk Intan sedia laksana pelan strategik

- Advertisement -

TELUK INTAN: PAS Kawasan Teluk Intan telah menggariskan Indek Prestasi Utama (KPI) akan dicapai bagi sesi 2019 – 2021 menerusi Pelan Strategik yang berjaya disiapkan dari program permukiman diadakan semalam.

- Advertisement -

Menerusi penglibatan Ahli Jawatankuasa Kawasan, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat, telah ditetapkan hala tuju dan agenda PAS Teluk Intan pada bengkel yang dilangsungkan di Markas PAS Kampung Padang Tembak, di sini.

Antaranya, usaha penambahan keahlian dan penubuhan Cawangan baharu, pengukuhan hubungan dengan Umno Bahagian serta pelaksanaan program berimpak tinggi dengan konsep “low cost, high quality”.

Menurut Timbalan Yang DiPertua PAS Teluk Intan, Rostam Malik, perancangan yang dirangka pada permukiman itu berpandukan arahan terkandung dalam Ucapan Dasar Presiden dan menepati tema “Islam Memimpin, Teluk Intan Sejahtera”.

“Tema “Islam Memimpin” sangat perlu ditonjolkan khususnya dalam menjalankan aktiviti dakwah, pendidikan, ekonomi, kebajikan dan hubungan kaum dalam agenda memasyarakatkan PAS di sini.

“PAS Kawasan perlu tampil sebagai gerakan dakwah dan siasah yang berkesan dan menjadikan konsep BPMS asas bagi setiap gerak kerja,” ujarnya.

Beliau juga memaklumkan, hasil dibengkelkan dari penglibatan peserta dan juga 14 lajnah itu akan dibukukan, seterusnya dirancang pelancaran rasmi nanti oleh Presiden PAS sempena Majlis Perasmian KOMPASTI, 21 April depan.

Permukiman sehari itu diisi dengan penerangan mengenai hala tuju, diikuti bengkel lajnah-lajnah sebelum disusuli pembentangan aktiviti dan penetapan Pelan Strategik PAS Teluk Intan 2019 – 2021. – HARAKAHDAILY 15/4/2019

- Advertisement -