Negeri lain makin subur pusat hiburan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ketika negeri lain makin subur dengan tempat-tempat hiburan sebaliknya di Kelantan pula pusat pengajian agama terus berkembang.

- Advertisement -

Apa yang berlaku itu jelas menolak tohmahan liar Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Harun yang cuba mengaitkan rakyat Kelantan yang tinggal di Kuala Lumpur dengan kelab malam.

Anggota Exco kerajaan negeri Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, tohmahan liar itu tidak menggambarkan keseluruhan budaya hidup rakyat Kelantan.

Katanya juga institusi pusat pengajian pondok tradisional yang ada di Kelantan sekarang meningkat kepada lebih 40.

“Begitu juga pusat pengajian tahfiz juga melebihi 60 buah. Itu tidak termasuk lagi yang diurus di bawah Yayasan Islam Kelantan,” katanya pada ceramah Israq Mikraj di Pondok Pasir Tumbuh malam tadi.

Hadir sama Ketua Dewan Ulama PAS Pahang Ustaz Mokhtar Senik dan bekas anggota parlimen Baling Dato’ Taib Azamudden Md Taib dan ahli jemaah pengurusan pondok terbabit.

Program itu diadakan sempena sambutan ulangtahun 65 Pondok Pasir Tumbuh.

Baru-baru ini Pengerusi SPR dilapor berkata, setiap kali pilihan raya 60,000 pengundi balik ke Kelantan untuk mengundi menyokong hudud sedangkan di Kuala Lumpur mereka pergi ke kelab malam.

Tuan Mohd Saripudin berkata, apa yang disebut Pengerusi SPR terbabit merupakan kes terpencil bertentangan dengan budaya majoriti rakyat Kelantan. – HARAKAHDAILY 4/4/2019

- Advertisement -