Rakyat makin terhimpit, PH tambah hutang

- Advertisement -
KUALA  LUMPUR: Banyak kajian menunjukkan ekonomi rakyat sedang dibelenggu kemelesetan hidup, sedangkan peruntukan belanjawan kian besar dan hutang kerajaan semakin membengkak.
 
Ahmad Amzad Hashim (PAS-Kuala Terengganu) berkata, hutang daripada RM686 bilion kini meningkat kepada RM741 bilion dan Kementerian Kewangan pula giat menambah beban hutang.
 
Beliau membentangkan butiran berkaitan ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2018) 2019 pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.
 
Bahkan kemukanya, banyak kajian juga memberi petunjuk sektor swasta dan prospek ekonomi turut terjejas, selain terdapat 502,000 penganggur daripada 14.9 juta keseluruhan tenaga buruh yang ada.
 
Bentang beliau, data PERKESO 2018 juga merekodkan 23,525 tenaga kehilangan pekerjaan di mana majoritinya berpendapatan di bawah RM2,000 dengan 50 peratus mereka itu dari Lembah Klang.
 
“Data PERKESO ini harus dibaca dengan hasrat Kerajaan Persekutuan mengecilkan saiz penjawat awam sebanyak 5 peratus atau 81,000 (pekerja) dalam tiga tahun,” ujarnya mengungkap kebimbangan.
 
Membaca laporan Ranstad Malaysia, katanya pengambilan pekerja juga semakin perlahan sejak Mei 2018, selain peningkatan pemegang diploma dan ijazah berbanding pertambahan guna tenaga.
 
“Ini menunjukkan negara tidak menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi mencukupi untuk menyerap bilangan siswazah yang memasuki pasaran saban tahun. 
 
“Isu ini tidak termasuk kadar permulaan gaji yang berada di bawah paras sederhana seperti mana telah didedahkan oleh Persekutuan Majikan Malaysia (MEF),” kemukanya termasuk penurunan gaji pemegang sarjana dari RM2,923 pada tahun 2010 kepada RM2,700.
 
Amzad turut membangkitkan isu pendapatan penoreh getah yang merosot teruk akibat kejatuhan harga komoditi itu di mana berpendapatan kurang RM10 sehari.
 
Begitu juga menurutnya, anggaran kos pengeluaran bagi satu hektar sawah telah meningkat sehingga RM2,800, selain terjejas akibat cuaca kemarau berpanjangan.
 
Juga disuarakannya isu peneroka FELDA yang lewat menerima bayaran sara hidup atau bayaran pendahuluan selama dua bulan, selain menerima bayaran separuh daripada pendapatan purata.
 
“Perancangan kewangan kerajaan gagal sekiranya peningkatan peruntukan tidak berjaya menyelesaikan masalah-masalah sosioekonomi rakyat.
 
“Kelihatannya rakyat hari demi hari semakin bersungut bahawa perubahan kerajaan yang berlaku hari ini tidak mendatangkan faedah sedikit pun kepada rakyat,” bidasnya. – HARAKAHDAILY 3/4/2019
- Advertisement -