Bahana Bauksit: Ancaman dan tindakan

- Advertisement -

‘KITA’ dan alam sekitar

- Advertisement -

Isu kebejatan terhadap alam sekitar menjadi semakin kritikal dan tambah meruncing dari hari ke hari.

Penodaan terhadap hutan belantara, dara atau tua; penjarah tanah simpan kekal yang rakus hinggalah kepada pelombong mineral yang haloba membarisi senarai panjang kelaku sumbang dan durjana sebahagian dari ‘kita’ terhadap alam sekitar.

Negeri Pahang turut sama terseret dalam ‘lingkungan kebinasaan’ yang semakin membarah ini yang terhasil tidak lain tidak bukan adalah berpunca dari kelaku tamak dan haloba yang melangkaui premis ketamadunan dan hormat terhadap alam sekitar dan sesama makhluk.

Kuantan dan Bauksit

Kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar yang mengisytiharkan tempoh Moratorium Ke Atas Bauksit akan berakhir pada 31hb Mac 2019 kembali menghantui penduduk Kuantan akan kemungkinan besar berulangnya krisis pencemaran alam sekitar yang dahsyat sepanjang tempoh perlombongan Bauksit menggila lingkungan tempoh 2014-2016.

Sepanjang tempoh tersebut penduduk Kuantan ‘bersendirian’, hari demi hari berdepan dengan debu dan lumpur yang dimuntahkan oleh pelombong dan pedagang rakus Bauksit serta berhadapan dengan kerosakan harta benda dan kemerosotan kualiti kesihatan dan kehidupan.

Kuantan umpama negeri ‘koboi’ tanpa penguatkuasaan yang seakan ‘lumpuh’ dan tidak bermaya berhadapan umpanan wang ringgit dan kemewahan berkemilau di sebalik debu Marikh yang merah membara.

Satu demi satu agensi berkuasa rebah di sebalik timbunan kertas berwajah Agong yang ‘berterbangan’ menjenguk poket dan saku yang kelaparan. Hanya agensi SPAD yang kekal dilihat gagah menguatkuasakan amanah Yang Di Pertuan Agong, menahan dan menyita lori-lori hantu yang berleluasa di jalan raya melebihi had muatan dan tanpa permit menderu laju menghimpit van dan bas sekolah serta para ibu yang mengambil anak pulang sekolah.

Bauksit dan risiko awam

Penguatkuasaan yang lemah dan longgar: 

Kerajaan mesti menjelaskan apakah peruntukkan undang-undang yang akan digunapakai dan agensi mana yang bertanggungjawab ke atas:

Perlanggaran undang-undang jalan raya: lebih muatan, lebih had laju, memandu secara merbahaya dan lain-lain;

Pencemaran alam sekitar – sungai, longkang dan jalan raya yang tercemar: Siapakah yang akan membersihkan debu merah di jalan raya?

Adakah Bomba dan JPAM sekali lagi akan dikerah secara percuma demi melindungi poket dan tembolok para pedagang rakus?

Perlombongan haram sama ada tanpa permit ataupun melangkaui tempoh masa dan kawasan:

Cukupkah bilangan pegawai dan kakitangan bawahan Pejabat Tanah dan Galian seramai 5 orang di Kuantan untuk pergerakan melebihi 500 lori sehari selama 24 jam? Berdayakah mereka dengan tekanan kerja melampau dan umpanan habuan yang sering melayang?

Cadangan GERAM kepada kerajaan

Syarat operasi yang ketat serta penguatkuasaan undang-undang dengan tegas merupakan pra-syarat utama bagi memastikan tragedi yang lalu tidak berulang lagi.

GERAM mencadangkan:

Kerajaan Persekutuan (KeATSA) dan kerajaan negeri membentangkan kepada awam melalui semua saluran media utama berkenaan langkah-langkah utama yang akan diambil bagi memastikan kesilapan lalu tidak berulang kembali dan terbuka kepada kritikan dan penambahbaikan atau pengubahsuaian, jika perlu.

Penubuhan satu badan pemantau bebas yang diiktiraf kerajaan bagi membantu penguatkuasaan undang-undang berkaitan Bauksit atau alam sekitar;

Matlamat utama ialah sebagai pendukung kepada agensi kerajaan yang berdepan dengan kekurangan anggota penguatkuasa serta sebagai salah satu cara melibatkan orang awam secara langsung dalam perihal penjagaan kelestarian alam sekitar.

Peranannya seumpama SRS (Skim Rondaan Sukarela) yang ditubuhkan dan digazetkan di bawah Jabatan Perpaduan Dan Integriti Nasional.

Keanggotannya diperakui oleh kerajaan dan diperuntukkan bidang kuasa yang bersesuaian untuk menangani isu-isu berkaitan alam sekitar seperti melaporkan perlanggaran had operasi atau permit, memberi maklumat kepada agensi penguatkuasa serta menyertai pemeriksaan atau operasi ke atas salah laku yang dilaporkan berkaitan alam sekitar;

Dianggotai oleh wakil NGO-NGO yang mewakili kepentingan penduduk dalam isu setempat seperti Bauksit dan lain-lain. – HARAKAHDAILY 30/3/2019 

FB IMG 1553955314316

- Advertisement -