Ajil mahu belajar ternak rusa dari Lenggong

- Advertisement -
LENGGONG: Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria telah mengiringi Adun Ajil, Ustaz Maliaman Kassim yang datang mengadakan lawatan melihat ternakan rusa di tiga ladang, di sini semalam.
 
Lawatan delegasi itu bertujuan membangunkan pusat perintis projek ternakan rusa secara komersil dalam usaha menambah pendapatan penduduk yang berminat mengusahakannya di Ajil.
 
Tiga ladang berkenaan ialah padang ragut Kampung Luat dan Sungai Soh di Bukit Sapi yang dimiliki pihak swasta, serta Pusat Ternakan Haiwan Lenggong di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Sumpitan.
 
Kata Ustaz Maliaman, sekiranya projek itu berjaya kelak, beliau akan mencadangkan supaya ternakan haiwan tersebut dilaksanakan secara besar-besaran diperingkat negeri Terengganu.
 
Menurut beliau, kajian secara teknikal sudah dibuat khususnya melibatkan pemantauan potensi antara rusa dan lembu, namun rusa adalah bidang baharu bagi rakyat Terengganu berbanding lembu.
 
“Saya cuba untuk melakukan bidang baharu kepada penternak. Apatah lagi dari segi proses penjagaan, pemakanan rusa (berbeza) dari lembu.
 
“Contoh pemakanan, kawasan ternakan untuk seekor lembu boleh dimakan sepuluh ekor rusa, selain tahan lasak dan sebagainya,” ujarnya menunjukkan minat dan yakin potensi haiwan itu.
 
Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syari’ah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu memilih Lenggong selaku pusat ternakan terbesar negara untuk mendapatkan gambaran lebih jelas.
 
Tambahnya, jika hasrat yang dirancangkan di Dun Ajil itu menjadi realiti, beliau akan menghantar penternak untuk berkursus di Pusat Ternakan Haiwan Lenggong agar mereka benar-benar mendapat kemahiran berkenaan. – HARAKAHDAILY 31/3/2019
20190331 033211
 
IMG 20190331 WA0008
- Advertisement -