DAP ekstrem main isu panggung wayang

- Advertisement -
DEWAN Pemuda PAS Negeri (DPPN) Perak menyelar kenyataan tidak berasas dan dangkal yang dikeluarkan Adun Keranji, Perak Chong Zhemin yang menyatakan PAS ekstrem hanya kerana tidak membenarkan panggung wayang dibuka.
 
Lebih kasihan apabila Chong Zhemin mengaitkan pula dengan penyakit HIV. Seakan Chong Zhemin ini mempunyai ijazah palsu yang dibeli dijalanan apabila membuat satu kenyataan tanpa mengetahui apa yang dikatakan. Fahamkah Chong Zhemin apa itu HIV? Darimana datang dan bagaimana berjangkit HIV? Tahukah Chong Zhemin bahawa LGBT yang seakan-akan didokong DAP merupakan faktor utama HIV selain dari suntikan dadah? 
 
Chong Zhemin juga disarankan membuat kajian sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan. Kelantan bukanlah antara negeri tertinggi HIV malahan statistik 2017 menunjukkan bilangan penghidap  HIV di Pulau Pinang 193 kes melebihi dari Kelantan. Tiga yang teratas pula merupakan Selangor 968 kes diikuti, Wilayah 464 kes dan Johor 347 kes. 
 
Tahukah Chong Zhemin bahawa panggung wayang di Kelantan tidak dibenarkan beroperasi sejak zaman almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar Kelantan lagi. Kenapa rakan karib DAP iaitu parti PAN yang kononnya menyanjung tinggi Tuan Guru Nik Aziz membisu seribu bahasa dalam isu ini? 
 
Chong Zhemin perlu faham erti mencegah lebih baik daripada mengubati. Gejala sosial perlu ditangani secara menyeluruh. Tindakan Kerajaan Kelantan merupakan salah satu langkah pencegahan. Naif sekali sekiranya tindakan ini dianggap ekstrem kemudian mengaitkan pula dengan HIV. Tindakan tidak rasional tanpa fakta dan tiada kajian menunjukkan bahawa Chong Zhemin merupakan ekstremis pembenci PAS.
 
Justeru, DPPN Perak menyeru agar semua pihak mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Kami menyokong tindakan Kerajaan Negeri Kelantan dalam usaha mengawal dan menangani gejala sosial. Kami juga mendesak agar Kerajaan Negeri Perak memikirkan dan membentang langkah bersepadu dalam menangani isu gejala sosial yang semakin parah di Perak dan kami juga komited akan bersama membantu menggerakkan demi kesejahteraan Perak.
 
“Islam Memimpin”
“Terus Mara”
“Terus Berjuang”
 
MOHD AKMAL KAMARUDDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak
Adun Selama – HARAKAHDAILY 22/3/2019
- Advertisement -