Kutuk tindakan kejam, ganas atas umat Islam

- Advertisement -
JUMAAT ini merupakan hari kesedihan buat seluruh ummat Islam di dunia. Insiden pembunuhan melalui tembakan oleh individu yang tidak dikenali lagak seperti pengganas ketika ummat Islam beribadah di masjid di Christchurch merupakan satu tindakan terkutuk yang tidak boleh sama sekali dibiarkan.
 
Insiden pembunuhan pasukan Al-Qassam di Gaza juga begitu memberi kesan buat seluruh ummat Islam. Usaha ummat Islam Palestin untuk mempertahankan tanahair mereka dari kerakusan Regim Zionis langsung tidak mendapat perhatian dunia. Malah dunia menuduh pula penduduk Palestin sebagai pengganas.
 
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengutuk serangan di Christchurch dan juga di Gaza. Serangan ganas ini langsung tidak membawa manfaat kepada kesejahteraan orang awam.
 
DPPM turut membantah kenyataan Senator Fraser Anning yang mengaitkan Islam dengan keganasan dan meletakkan anggapan bahawa agama Islam sendiri yang kebiasaannya memulakan keganasan di seluruh dunia. Selain itu, kenyataan beliau yang mengatakan bahawa perkara ini bermula daripada program imegresen yang membenarkan ‘fanatik muslim’ yang masuk ke New Zealand itu seolah-olah menjustifikasikan insiden yang berlaku hari ini. Kedangkalan pandangan seperti Senator inilah yang telah menyebabkan persepsi buruk terus membadai ummat Islam walau si pelakunya nyata dari kalangan non muslim. Meletakkan agama Islam setaraf dengan ideologi fasisme merupakan tuduhan singkat akal Senator Frase Anning.
 
Islam datang membawa kesejahteraan. Islam bukan membawa keganasan. Seluruh ummat Islam diminta terus bersatu, membawa kemuliaan Islam secara menyeluruh agar pilihan manusia akan kembali terhadap ajaran Islam.
 
Sekian, terima kasih.
 
“Islam Memimpin”
“Terus Mara”
 
YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia
- Advertisement -