Kain rentang calon Bebas dikhianat

- Advertisement -

HULU LANGAT: Kain rentang calon Bebas, Kuan Chee Heng bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di sekitar kawasan Taman Tasek Semenyih.

- Advertisement -

Tinjauan Harakahdaily di sekitar kawasan kempen hari ini mendapati dua keping kain rentang yang memaparkan gambar Chee Heng atau lebih mesra dikenali Uncle Kentang beserta nombor telefon beliau telah dipotong.

Perbuatan khianat terbabit berlaku sekitar jam 2 atau tiga petang tadi betul-betul terletak berhampiran 50 meter jarak Pondok Polis Komuniti Taman Tasek Semenyih.

Harakahdaily telah menghubungi wakil calon untuk mendapatkan reaksi awal berhubung perbuatan khianat tersebut.

Wakil calon memaklumkan pihak calon akan memberi reaksi atau tindakan lanjut sama ada melaporkan kepada pihak berkuasa dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi sebentar nanti.

Chee Heng mendedahkan kepada Harakahdaily pada 21 Februari lalu bahawa beliau ada menerima ancaman beberapa hari lalu namun tidak mengendahkan.

Semalam, pihak berkuasa mendedahkan sebanyak 24 laporan polis telah diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh enam hari kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih, sejak 16 Februari lalu.

Jurucakap PRK di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata, sepanjang tempoh itu juga, enam kertas siasatan telah dibuka untuk tindakan selanjutnya. – HARAKAHDAILY 23/2/2019

- Advertisement -