Royalti: Ratusan ribu dijangka solat hajat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ratusan ribu rakyat Kelantan dijangka memenuhi Stadium Sultan Muhammad Ke IV malam esok menunaikan solat hajat bagi memohon dipermudahkan urusan pembayaran royalti petroleum.

- Advertisement -

Solat hajat itu diadakan sempena sambutan Murabbi Ummah akan diimamkan oleh Timbalan Mufti Kelantan Dato Nik Abdul Kadir Nik Muhamad.

Ia diadakan selepas solat Isya berjemaah, di padang bola dalam stadium.

Solat hajat juga akan diadakan serentak di seluruh Kelantan selepas Jumaat esok.

Pengarah Program Hari Murabbi Ummah Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, solat hajat yang sekian kali diadakan memohon ke hadrat Allah Taala supaya dipermudah urusan pembayaran royalti yang tertunggak sehingga sekarang.

Katanya, rakyat Kelantan perlu merebut peluang hadir pada program tersebut untuk bersama bermunajat supaya dipermudahkan pembayaran royalti.

“Kita berharap komitmen Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membayar royalti menjadi kenyataan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Pada 24 Oktober lepas kerajaan negeri menarik saman tuntutan royalti terhadap Petronas dan kerajaan Malaysia yang difailkan pada 2011.

Difahamkan sehingga sekarang lebih RM2 billion tunggakan royalti belum diterima kerajaan Kelantan.

Malam esok juga orang ramai berpeluang mendengar pidato disampaikan ikon dakwah nusantara Ustaz Abdul Somad dari Indonesia. – HARAKAHDAILY 14/2/2019

- Advertisement -