Media PAS, mana arah kamu?

- Advertisement -

MEDIA, satu alat yang terpenting dalam membentuk kejayaan sesuatu perancangan. Tanpa media, tiadalah rancangan itu berjalan dengan berkesan, akan menyaksikan perancangan itu kosong, lemah dan tidak berguna. Jika tiada media, maka bersiap bagi kekalahan dalam perjuangan kita.
 
Media digunakan semenjak mula. Allah gunakan malaikat dan Nabi dan Rasul sebagai media untuk menyampaikan apa yang Dia kehendaki untuk manusia mengikuti. Sebahagian Rasul diberikan pula kitab suci sebagai media bagi menguatkan lagi penerangan dakwah, hukum hakam dan semisalnya.
 
Dalam perang, media digunakan dengan semaksima mungkin bagi memberi dan menerima arahan daripada ketua masing-masing, menjalankan tanggungjawab mereka. Perhubungan yang terputus, akan merencatkan perancangan pasukan bagi mencapai kejayaan.
 
Kita sekarang hidup dalam zaman yang mengutamakan media sosial, menggunakan kemudahan internet bagi menjalankannya. Sudah banyak syarikat surat khabar yang tidak mampu menongkah arus pembawaan media sosial ini dan menutup operasi mereka. Tidak terlawan mereka jika tiada sokongan modal yang kuat. Rakyat sekarang lebih mendekati media baharu. Maklumat di hujung jari.
 
Masyarakat telah menyaksikan di Malaysia ini, PH melalui penggunaan maksima jentera mereka dalam kepakaran media sosial, telah mendapat kemenangan yang bukan sahaja tidak disangka lawan, malahan mereka sendiri terkejut dengan keberkesanan media yang mereka gunakan itu.
 
Persetankan sama ada fitnah, mengacum, membuli, mengutuk, menghina, mencaci mahupun menggunakan sentimen agama sewenang-wenangnnya, mereka berjaya menggunakan media dengan cara itu. Bukan sedikit masa, wang dan tenaga yang mereka gunakan bagi memastikan kemenangan itu.
 
Ketika itu, pendirian rakyat hanyalah mahu menjatuhkan rejim BN. Ia tidak terkecuali juga kepada ahli-ahli dan penyokong PAS yang secara langsung terlibat dalam kempen-kempen bagi memburukkan BN, mengharapkan dengan jatuhnya BN, kerajaan baharu akan lebih membela rakyat.
 
Ramai juga ahli PAS yang mengundi PH kerana tidak yakin dengan kemampuan PAS bersendirian dalam menentang BN. BN sangat jijik, tidak boleh didekati PAS ketika itu. Jika terpalit, nahaslah PAS. Dalam berhati-hati tidak terpalit pun, PAS tetap terkena kebencian rakyat. Begitulah dahsyatnya peranan media PH.
 
Rakyat, tidak terkecuali ahli PAS, mengongsi segala keburukan BN. Sama ada betul atau tidak, tidak ada lagi penilaiannya. Asal sahaja atas nama kejahatan BN, maka akan disebarkan sebanyak-banyaknya. Dalang kepada fitnah itu ialah PH, tapi ada ahli PAS turut sama mendapat dosa fitnah. Yang untung, PH.
 
Begitulah ia berjalan, sehinggalah rakyat mulai sedar akan penipuan yang dilakukan oleh PH. Kini, rakyat kembali merindui BN. Ahli PAS juga yang dahulu membantu kempen PH tanpa sedar, turut merindui BN. Dan sekarang, segala kejahatan PH, dibongkar oleh BN. BN mendalangi kempen memburuk-burukkan PH.
 
Ada berita betul, ada berita salah. Dan semua itu juga diborong dan dikongsi oleh ahli PAS yang geramkan PH. Ahli PAS sebegini memang baik, mereka suka membantu orang lain. Tetapi secara tidak langsung, ahli PAS ini menjadi media bagi BN berkempen secara percuma. Apatah lagi semenjak diuar-uarkan PAS akan bekerjasama dengan BN, makin kuat dia berkempen. Dan akhirnya, BN yang akan mendapat laba.
 
PAS sebenarnya tidak kekurangan tenaga bagi menggerakkan media mereka sendiri, ditambah lagi dengan bantuan ahli-ahlinya yang setia. Cumanya, PAS perlu mengadakan perancangan bagi penggerak-penggerak media PAS ini berpencak, kena pada isu, tepat pada waktu, mengikut kehendak Allah yang satu. Jangan kita dikelirukan dengan media orang lain. Kita mesti ada jati diri dan arah kita sendiri dalam media.
 
Mujahid siber adalah gelaran yang diberikan kepada ahli-ahli PAS yang secara sukarela mewakafkan diri bagi membantu media PAS berfungsi dengan lebih berkesan melawan PH. Kebanyakan mereka ini sayangnya, tidak dapat berfungsi dengan baik, mungkin atas beberapa masalah yang boleh diatasi.
 
Oleh itu, PAS dengan rasminya, akan mengadakan Ijtimak Siber 2019, bertempat di Dewan Jubli Intan, Majlis Perbandaran Kemaman, pada Sabtu, 16 Februari 2019, bagi memberikan ruang dan peluang kepada penggiat-penggiat media sosial yang menyokong perjuangan PAS, mendalami kehendak media semasa.
 
Peserta akan dibentangkan dengan kertas kerja oleh mereka yang berpengalaman bagi memandu peserta ke arah yang PAS inginkan dalam pertembungan ini terutama bagi media sosial. Bukan itu sahaja, dialog dua hala juga akan diadakan melalui segmen sumbang saran, bagi PAS menerima idea-idea serta pandangan daripada peserta, untuk memastikan pasukan media PAS ini akan lebih mantap di masa depan.
 
Marilah kepada semua, untuk sama-sama hadir menyertai ijtimak ini. PAS tetap seperti dahulu, mengharapkan usaha dan bantuan daripada ahli-ahli bagi menggerakkan parti. PAS tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan, tetapi ahli mempercayai yang pemberian mereka kepada PAS, adalah bagi menegakkan Islam di Malaysia ini. Untuk keterangan lanjut program ini, sila hubungi 019-4186368.
 
MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
12 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 12/2/2019

- Advertisement -

FB IMG 1549967574576 

FB IMG 1549967580646

- Advertisement -