Kit Siang prejudis melampau kepada Presiden PAS

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) menyelar sikap buruk sangka, prejudis dan jahat Lim Kit Siang yang menuduh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahu jawatan Perdana Menteri ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

- Advertisement -

Ustaz Md Ali JamilDUPWP melihat kenyataan Lim itu amat berniat jahat kerana mahu menyamakan Presiden PAS dengan segelintir pemimpin yang berebut mahukan jawatan Perdana Menteri.

Lim Kit Siang dalam kenyataannya juga berkata Presiden PAS menerusi kepimpinan PAS mahu berbincang mengenai calon Perdana Menteri gabungan Pakatan Rakyat pada PRU13 kerana Dato’ Seri Anwar Ibrahim dianggap tidak sesuai.

Beliau pula membuat andaian seolah-olah pemimpin PAS seperti mahu mencalonkan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tetapi berlapik dengan calon lain iaitu tokoh veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Penafian Presiden PAS bahawa beliau tidak pernah membincangkan soal jawatan Perdana Menteri dengan DAP pada Pilihan Raya Umum ke-13 ketika berada dalam Pakatan Rakyat.

Kenyataan tegas beliau bahawa PAS tidak pernah mencalonkan diri untuk menjadi Perdana Menteri, atau menggelarkan diri sebagai Perdana Menteri menanti membuktikan PAS tidak pernah kemaruk atau kebulur jawatan Perdana Menteri.

Dalam hal ini, Lim Kit Siang mahu merendah-rendahkan imej dan reputasi PAS di mata rakyat dengan tuduhan liar sebegitu. Beliau mahu rakyat menganggap PAS sama seperti parti lain dan Presiden PAS sama seperti segelintir pemimpin lain yang sanggup melobi, berkempen, semata-mata mahu menobatkan diri sebagai Perdana Menteri.

Apakah agenda sebenar Lim Kit Siang dengan mengungkit kisah silam di era Pakatan Rakyat ketika musim PRU13 selain mahu memburuk-burukkan PAS?

Perkara itu telah berlalu lama dan Pakatan Harapan sekarang telah menjadi Perdana Menteri, mengapa sibuk menyerang PAS pula. Apa pula kaitan PAS dengan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang sedang berlangsung sekarang? Terdesak sangatkah untuk menang sehingga PAS pun digeruni walaupun PAS tidak bertanding pada PRK Cameron Highlands?

DUPWP menegaskan, PAS sejak dahulu sehingga sekarang konsisten memperjuangkan Islam, keadilan dan hak semua rakyat dimartabatkan.

PAS juga konsisten menentang pelbagai kemungkaran termasuk rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, penipuan serta perebutan kuasa dan jawatan. PAS tidak pernah terikat dengan mana-mana pihak untuk mengangkat diri sebagai Perdana Menteri, kerana bagi PAS, agenda Islam, negara dan rakyat adalah lebih utama.

Oleh kerana itu, PAS tidak pernah rugi walaupun tidak menjadi kerajaan, tidak menyesal walaupun tidak mendapat Kerajaan Persekutuan dan tidak kecewa walaupun tidak mendapat jawatan Perdana Menteri mahupun menteri kabinet.

USTAZ MD ALI JAMIL
Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan – HARAKAHDAILY 25/1/2019

- Advertisement -