Tabung Haji: Apakah kerisauan kita? (Bah. Pertama)

- Advertisement -

LATAR belakang

- Advertisement -

Pada 10 Disember 2018, kita dikejutkan dengan sidang media Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf berkenaan Penyata Kewangan Lembaga Tabung Haji (yang telah diaudit) bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2017 yang dikatakan mengalami defisit berjumlah RM 4.1 billion.

Menteri juga menegaskan bahawa Lembaga Tabung Haji (TH) telah membayar dividen haram kepada para pendepositnya sejak tahun 2014 lagi. Di mana sejak tahun 2014, liabiliti TH adalah melebihi nilai asetnya. Dan ini menjadikan TH tidak memenuhi syarat untuk meluluskan sebarang dividen kepada para pendeposit berdasarkan Akta Tabung Haji 1995.

Firma Pengauditan terkenal Pricewaterhouse Coopers (PwC) yang mengaudit Penyata Kewangan TH itu juga mencadangkan Kerajaan memulakan langkah pemulihan TH secara komprehensif. Antara langkah yang diumumkan oleh Menteri ialah meletakkan TH di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) dan menubuhkan Special Purpose Vehicle (SPV) untuk memulihkan RM19.9 bilion aset TH yang berada di bawah prestasi yang dikehendaki.

Pendedahan kerugian yang dialami oleh TH dan cadangan kaedah memulihkannya mula menimbulkan beberapa persoalan besar dan rasa cemas di kalangan para pendeposit tentang masa depan pelaburan mereka dan hala tuju baru TH.

Pada 12 Disember, Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menggesa satu Suruhanjaya Siasatan Di Raja ditubuhkan untuk menyiasat isu ini secara menyeluruh.

Pihak yang disalahkan dalam kes TH

Sebelum itu, pada 30 November 2018, Pengurusan TH yang baru telah pun membuat dua laporan polis terhadap beberapa orang mantan pemegang jawatan utama dalam TH, termasuk mantan Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, mantan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail dan beberapa orang lagi pegawai pengurusan kanan TH.

Satu laporan polis berkaitan dakwaaan penyalah-gunaan Yayasan Tabung Haji untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik dan satu laporan polis lagi berkaitan dakwaan salah nyata dan menyekat maklumat material melibatkan penjualan saham TH pada 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations yang dipegang oleh 2 anak syarikatnya, iaitu TH Indopalms Sdn Bhd (THI) dan TH Indo Industries Sdn Bhd (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) dengan harga AS$910 juta (RM3.7 bilion).

Teknik membuat pendedahan salah laku pentadbiran terdahulu secara sensasi seperti ini, biasanya hanya digemari oleh Menteri Kewangan. Namun pada kali ini, ia dibuat oleh Pengurusan baru TH dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pula.

Memanglah kita mahu pihak yang bersalah dibawa ke muka pengadilan. Akan tetapi yang kita lebih bimbang ialah kesan selepas pendedahan itu.

Di mana sering kali, rakyatlah yang terpaksa menanggung akibatnya, bukan pesalah yang sebenar. Seperti dalam kes 1MDB, di mana ia sering digunakan sebagai justifikasi oleh Kerajaan PH untuk tidak melaksanakan pelbagai program kesejahteraan dan kebajikan untuk rakyat, ekoran dakwaan duit Kerajaan telah susut teruk kerana skandal tersebut, akibat salah laku pentadbiran Kerajaan BN yang terdahulu.

Beberapa kebimbangan yang timbul

Berbalik kepada sidang media oleh Menteri. Antara kebimbangan dan tanda tanya yang timbul daripada sidang media itu ialah;

●    Adakah TH tidak akan membayar dividen kepada para pendepositnya untuk simpanan bagi tahun 2018 ini, kerana aset TH adalah lebih rendah daripada liabiliti?

●     Dengan meletakkan TH di bawah BNM, adakah ia akan menjadikan TH sebagai badan pelaburan yang membuat untung semata-mata dengan membelakangkan objektif asal penubuhannya, iaitu untuk membantu dan memudahkan urusan umat Islam dalam mengerjakan ibadah Haji, terutamanya daripada aspek kewangan dan perbelanjaan menunaikan Haji?

●     Aset yang hendak diserahkan kepada SPV bernilai RM19.9 bilion, iaitu lebih daripada 20 peratus nilai aset keseluruhan TH. Adakah aset TH yang bernilai strategik kepada ekonomi umat Islam pun akan turut dilupuskan tanpa mengambil kira kepentingan strategik tersebut?

●     Pertembungan laporan audit. Apakah jenis audit yang dibuat oleh Earnst & Young, PwC dan Jabatan Audit Negara terhadap Laporan Kewangan TH selama ini?

Beberapa perbincangan bagi kebimbangan tersebut

Setelah sidang media itu mencetuskan beberapa persoalan seperti di atas, beberapa jawapan bagi sebahagian daripada persoalan itu mula dikongsikan oleh beberapa pihak yang mewakili Kerajaan dan TH secara rasmi dan tidak rasmi bagi meredakan keresahan orang ramai.

Namun jawapan-jawapan itu mengundang kepada beberapa persolan yang lebih besar. Berikut adalah sebahagian daripadanya;

A.     Mengenai dividen 2018

Menteri menjawab, “Saya yakin dengan tindakan pemulihan yang sudah bermula sejak Julai lalu, hibah atau dividen bagi tahun 2018 akan dapat diberikan kepada pendeposit, namun kadarnya bergantung pada keuntungan. Jadi TH tetap akan bayar dividen.”

Persoalan selanjutnya yang timbul, bagaimanakah aset TH yang mengalami defisit RM4.1 bilion itu akan mampu melebihi liabilitinya dalam masa terdekat ini, iaitu untuk dibayar biasanya pada bulan Februari tahun berikutnya?

Jawapan yang paling logik ialah TH mestilah meng’elok’kan Penyata Laporan Kewangan Berakhir 2018. Proses sebegini selalu dikritik oleh DAP pada era Pentadbiran BN dahulu sebagai tindakan simpan kira secara kreatif (creative accounting). Pertukaran nombor di atas kertas secara ‘kreatif’ pun boleh mewujudkan keuntungan atas kertas atau menghilangkan kerugian atas kertas.

Adakah TH akan mengambil langkah ini? Atau memilih untuk tidak akan membayar dividen atas dasar memang liabiliti TH lebih daripada nilai asetnya? Kerana itulah hakikat yang didakwa setakat ini.

Jika tiada dividen untuk tahun 2018, adakah akan berlaku bank run, iaitu para pendeposit secara beramai-ramai akan meninggalkan TH sehingga melemahkan TH dan mungkin akan membawa kepada keruntuhannya?

Jika TH benar-benar lumpuh, siapakah yang benar-benar akan rugi?

…bersambung.

ZAKARIA ISMAIL
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan Marang
31 Disember 2018 – HARAKAHDAILY 31/12/2018

- Advertisement -