Perubahan menyeluruh untuk lahir usahawan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seruan kerajaan untuk para graduan melibatkan diri dalam bidang keusahawanan perlu diselaraskan dengan melakukan perubahan pada dasar dan polisi sedia ada.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berpandangan, tidak memadai kerajaan hanya mengadakan pelaburan dalam bentuk latihan dan bantuan kewangan semata-mata.

Tetapi menurutnya, perlu juga disusun atur usaha tersebut daripada peringkat bawah termasuk menerusi sektor pendidikan kerana bidang keusahawanan sangat berkait dengan daya berdikari.

“Pada saya, menggalakkan anak muda ‘involve’ dalam bidang ‘entrepreneurship’ ini adalah amat baik, bagus. Sebab dalam sirah juga begitu, Rasulullah terlibat dalam pertanian, penternakan dan keusahawanan.

“Di sana Baginda bermuamalah dengan masyarakat Makkah, ada yang jahat, tapi Rasulullah orang yang baik. Orang baik ‘Al-Amin’ akan menyinari orang jahat.

“Jadi kalau Allah Taala aturkan Rasulullah begitu, kita juga boleh aturkan anak-anak muda kita begitu dengan syarat kerajaan menunjukkan kejujuran selesaikan masalah anak muda ini,” ujarnya.

Galakan tersebut tegasnya, memerlukan kerajaan melakukan penyelarasan termasuk menangguhkan pembayaran pinjaman PTPTN dan mengurangkan pengambilan pekerja asing.

Selain itu katanya, amat penting juga kerajaan membuka peluang pekerjaan kepada anak muda graduan secara sepatutnya iaitu menurut kemahiran dan juga kepakaran yang mereka miliki.

Jelas jurutera muda itu, penyusunan sedemikian bukan sahaja akan membantu hasrat kerajaan mencapai belanjawan berimbang di masa depan, tetapi juga mengurangkan ketidakseimbangan yang menjurang. – HARAKAHDAILY 19/12/2018

- Advertisement -