PAS tidak akan terjerumus sama dalam kemelut PH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS akan terus istiqamah dengan prinsip dan dasarnya dengan tidak akan sekali-kali masuk ke gelombang politik yang sedang berpusing ketika ini.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan ahli dan pimpinan PAS supaya teguh dan tenang menghadapi senario politik semasa agar tidak tenggelam akibatnya.

“Tapi jangan tak ambil kisah langsung dengan apa yang sedang berlaku, nanti perubahan berlaku dengan cepat, drastik. Di waktu mana pimpinan Umno yang lompat, ahli dia mula marah dan pening, di waktu ini kita dekati ahli-ahli Umno.

“Ada yang pening kerana bimbang masalah peribadi kena dakwa di mahkamah dan sebagainya. Ada yang lihat bahawa ‘kepala’ dia dah hilang ke mana, dia pening kepala. Dia nampak PAS stabil dan dia mari ke kita.

“Di waktu suasana begini, kita perlu dekati ahli-ahli Umno untuk tarik kepada kita bersama dengan kita,” serunya pada Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden di Dewan PUTIK, Pengkalan Chepa, kelmarin dahulu.

Terdahulu, beliau menyingkap landskap politik negara di mana wujud kemelut dalam Kerajaan PH apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghadapi penentangan terbuka.

Terangnya, perkara tersebut sangat serius di mana pendirian dan arahan Tun tidak dipatuhi dan disanggah oleh Menteri Kabinet sendiri yang menunjukkan perkara tersebut secara terang-terangan.

“Contoh ICERD, PM beritahu dia tak hadir Himpunan SUHAKAM sebab SUHAKAM sokong ICERD dan dia tak setuju ICERD. Ya ke dia tak setuju? Yang jelas, dalam ucapan PBB dia setuju.

“Tapi bila tengok ‘mood’ rakyat, juta lebih hadir, pilihan ada dua, lawan arus atau ikut arus? Tun buat keputusan ikut arus orang Melayu menolak ICERD,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Krian.

Menurutnya, dalam isu Pilihan Raya Kerajaan Tempatan yang merupakan Manifesto DAP, Tun telah buat kenyataan menolak perkara tersebut di hadapan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Namun katanya, Menteri tersebut menjawab di depan wartawan bahawa dia akan tetap usahakan dalam tiga tahun akan datang untuk mengadakan juga Pilihan Raya Kerajaan Tempatan.

Begitu juga ujarnya, prestasi Menteri-menteri yang dipertikaikan serta jawapan merapu dilontarkan seperti menyuruh penoreh menoreh getah di musim tengkujuh dan tanam sawit 15 tan sehektar.

“Ada Menteri cadangkan nelayan tanam sayur belakang rumah. Prestasi Kabinet memang sangat teruk, yang menyebabkan ada tekanan dalaman. Walau bagaimanapun, (Tun) nak buat perubahan baru sangat.

“Sekarang proses sedang membesar untuk parti Bersatu menguasai Kabinet. Dalam situasi kemelut begini, dia perlukan bilangan yang besar dan ‘pesta lompat’ kepada Bersatu sedang berlaku untuk besarkan sayap dia.

“Dalam waktu sama, dia ada persaingan untuk mengangkat Anwar (Ibrahim) yang dia tak nak angkat. Tapi apa pilihan? Nak ubah Kabinet, baru tujuh bulan, tak mungkin sebab baru,” kemukanya.

Terang beliau, perkara dihadapi Tun adalah situasi tidak pernah dialaminya sebelum ini, apatah lagi dia juga tidak punya kekuatan bertindak ketika ini terhadap para Menteri Kabinetnya.

Selain kata Dato’ Tuan Ibrahim, Tun M turut hadapi desakan rakyat untuk menggugurkan Menteri Kabinetnya atau memaksa mereka meletak jawatan sebagaimana isu Waytha Moorthy. – HARAKAHDAILY 17/12/2018

- Advertisement -