Ayodhya dikepung, orang Islam mungkin dibunuh

- Advertisement -

REUTERS melaporkan bahawa parti politik Perdana Menteri India Bharatiya Janata Party (BJP) dan sekutunya menganjurkan pengepungan bandar Ayodhya oleh 100,000 pelampau Hindu pada 25 November.

- Advertisement -

SMIdrisPengepungan itu bertujuan menekan kerajaan mengadakan undang-undang untuk membenarkan kuil baharu dibina di tapak Masjid Babri. Masjid itu, yang dibina pada 1528, telah dimusnahkan oleh kumpulan perusuh pelampau Hindu pada 1992. 5,000 orang Islam yang tinggal di Bandar itu bimbangakan berlaku pembunuhan beramai-ramai dan sedang berpindah keluar.

Pertikaian berhubung tapak itu kini sedang dibicarakan di Mahkamah Agung tetapi BJP menimbulkan isu untuk menarik pengundi Hindu dalam pilihan raya kebangsaan India yang akan berlangsung pada April 2019. Mereka mengapi-apikan perasaan anti-Muslim untuk memenangi undi Hindu. Strategi ini berkesan dalam pilihan raya 2014 dengan BJP memenangi majoriti kerusi Parlimen. Ia juga membawa kepada pembunuhan orang Islam dan Dalit oleh pelampau Hindu.

Sejak pilihan raya 2014, BJP sedang kehilangan sokongan dalam kalangan pengundi disebabkan harga hasil pertanian yang rendah, pengangguran dan kesukaran yang dihadapi oleh perniagaan kecil dalam mendapatkan kredit. Mengikut pungutan suara dalam beberapa bulan lalu, sebahagian besar meramalkan parlimen tergantung. Terdesak untuk mendapatkan undi Hindu, BJP menggunakan kefanatikan Hindu dan kebencian terhadap orang Islam. Ini perlu dikutuk oleh semua.

BJP adalah sayap politik proto-fasis RSS. Ditubuhkan pada 1925 sebagai pertubuhan sosial, RSS kini berkembang menjadi pergerakan nasionalis Hindu militan yang berkuasa dengan beberapa pertubuhan sekutu, dirujuk sebagai Sangh Parivar. Cengkamannya kini telah merebak ke sekolah, kolej tentera, pertubuhan kebajikan, kelab dan penerbitan untuk mengembangkan ideologi fasis. Aktiviti Sangh Parivar mengajarkan kebencian terhadap minoriti, mencetuskan rusuhan komunal dan menggerakkan sokongan untuk calon BJP ketika pilihan raya.

RSS membenci orang Islam yang dilabelkan sebagai penjajah asing dan sumbangan mereka kepada budaya dan tamadun India dinafikan. Guru ideologi RSS M. S. Golwalkar, yang mati pada 1973, menulis bahawa layanan terhadap orang Yahudi oleh Hitler adalah ‘satu pengajaran yang baik bagi kita di Hindustan untuk mempelajarinya dan mendapat manfaat darinya. Sejak orang Islam pertama kali bertapak di Hindustan, sehingga sekarang, bangsa Hindu ini berjuang menentang perosak ini. Semangat bangsa telah bangkit.”

RSS mengendalikan 4,000 sekolah di mana minda kanak-kanak diracuni dengan mengajar sejarah India yang direka, mengagungkan sumbangan bangsa Aryan kepada tamadun India dan menanam kebencian terhadap orang Islam. Ia mengajar Hindu “untuk memperkasakan diri sendiri, mengatasi kelemahan, menunjukkan kejantanan mereka dan memadamkan sejarah pahit kesalahan masa lalu. Gesaan kepada penegasan Hindu ini menjadi metafora bagi memerangi orang Islam”. Kerajaan BJP dalam proses menulis semula buku teks sejarah sekolah negeri untuk menyesuaikan dengan ideologi Hindutva.

Kerajaan negeri BJP juga telah menukar nama beberapa kota yang berbau Islam kepada nama Hindu dalam usaha untuk menghapuskan sumbangan besar yang dibuat oleh orang Islam selama lebih 500 tahun. Allahabad, kota yang dibina oleh Maharaja Akhbar, lebih daripada 400 tahun lalu, telah ditukar namanya kepada Prayagraj, pusat ziarah Hindu dan buka kota. Di Assam, kerajaan BJP merancang untuk meminda undang-undang kewarganegaraan untuk mendiskriminasi orang Islam.

Tentang keganasan sektarian Hindu terhadap orang Islam, bekas ketua laksamana tentera laut, Laxminarayan Ramdas, menulis kepada Perdana Menteri Modi membantah: “Hinduisme yang saya kenali dan mengalaminya adalah lemah lembut, inklusif dan penuh dengan kepelbagaian luar biasa. Hari ini, sebagai seorang veteran dalam usia lapan puluhan, saya merasa malu… Orang Islam terpaksa membuktikan kesetiaan mereka, dan mereka berulang kali diletakkan dalam situasi di mana tempat ibadat mereka diserang, begitu juga tabiat makan mereka dan kebebasan asas lain.”

Faham pelampau masyarakat Hindu, dan seterusnya keganasan dan rusuhan komunal, telah membunyikan loceng amaran di India. Economic and Political Weekly telah memberi amaran: “…Pelan jangka panjang ini (bagi Hindu rashtra –Kerajaan Hindu) dilaksanakan secara sistematik sehingga ke peringkat di mana Hindu biasa pun, yang mungkin bukan sebahagian daripada Sangh Parivar, turut terpengaruh dengan kebencian terhadap komuniti lain, terutama sekali orang Islam… Politik kebencian yang dipromosikan setiap hari sedang menukarkan India kepada satu tempat yang merbahaya di mana warganegara yang mematuh kepada undang-undang bimbangkan terhadap keselamatan nyawa mereka dan anak-anakya… Ini mestilah ditentang dan semua bentuk penentangan seharusnya dialu-alukan. Kezaliman dibina di atas sikap acuh tak acuh dan ketiadaan kemanusiaan orang ramai. Hindu rashtra akan hanya menjadi yang tidak dapat dielakkan jika mereka yang percaya sebaliknya tidak melakukan apa-apa.”

Komuniti antarabangsa tidak boleh berpangku tangan dan melihat diskriminasi, penyiksaan dan keganasan yang dilakukan terhadap orang Islam dan golongan minoriti lain, dan penerapan kebencian terhadap mereka di sekolah dan media.

Oleh sebab itu, kami menggesa supaya:

1. Kerajaan Malaysia, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Majlis Hak Asasi Manusia PBB, kerajaan dan NGO supaya membantah kepada Kerajaan India terhadap pengepungan bandar Ayodhya oleh 100,000 ekstremis Hindu pada 25 November ini, dan mendesak supaya menghentikannya.

2. Majlis Keselamatan PBB perlu mengambil tindakan berkesan untuk mencegah ucapan kebencian, penganiayaan dan keganasan terhadap golongan Dalit, Kristian, Islam, Kaum Asli, pengkritik sekular Sangh Parivar dan minoriti lain.

3. Pejabat Pesuruhjaya Tinggi bagi Hak Asasi Manusia (OCHR) supaya mengarahkan Pelapor Khas (Special Rapporteur) mengenai Isu Minoriti supaya menyiasat dan melaporkan situasi golongan minoriti di India. – HARAKAHDAILY 24/11/2018

Penulis ialah Pengerusi Citizens International.

- Advertisement -