ICERD: PM patut berani macam Presiden PAS

- Advertisement -

KERAJAAN sepatutnya berfikiran lebih jauh dan mempunyai sikap ketegasan dalam soal mempertahankan kedaulatan negara. Soal bangsa, kedudukan agama Islam dalam negara, hak istimewa bangsa Melayu, keutamaan Bahasa Malaysia, dan lain-lain adalah agenda besar yang tidak boleh dikompromi.

- Advertisement -

Ini bukan bermaksud hak kaum dan bangsa lain dianaktirikan atau diketepikan, kerana kedudukan istimewa negara ini yang tetap memberikan perhatian kepada keharmonian dengan mengekalkan hak dan kedudukan bagsa lain tidak pernah terhakis.

riduan mnorJusteru, dalam isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sepatutnya kerajaan menolaknya lebih awal tanpa perlu membuat kajian dan mendapatkan pandangan daripada rakyat. Ketika rakyat sudah mula bangkit memberontak dan melahirkan kemarahan, barulah kerajaan cemas dan mula bersilat menyatakan ICERD tidak akan dilaksanakan.

Kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa ICERD hampir mustahil dilaksanakan kerana memerlukan pindaan perlembagaan yang melibatkan persetujuan pembangkang dianggap sebagai kenyataan tidak konsisten dan tidak diyakini. Ini kerana sebelum itu beliau sendiri memberikan persetujuan untuk mengkaji, mendapatkan pandangan dan seterusnya untuk menandatangi konvensyen tersebut. Mengapa baru sekarang beliau mengeluarkan kenyataan seperti itu di saat semua pihak menyatakan kemarahan?

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mesti memahami agenda besar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam meratifikasi ICERD. Ia adalah bentuk penjajahan moden dengan PBB dijadikan sebagai platform untuk menekan mana-mana negara untuk tunduk dengan tekanan antarabangsa. Mana-mana negara yang tegas mempertahankan Islam sebagai agama rasmi akan diserang secara halus bagi memaksa mereka menandatangani ICERD. Agenda halusnya agar hak semua bangsa dan agama diakui dan dianggap sama rata.

Kenyataan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa isu ICERD adalah agenda Freemason adalah kenyataan paling berani dan tepat untuk menggambarkan isu ini. PM perlu seberani Presiden PAS dalam menyatakan tidak kepada PBB ketika awal isu ICERD diletuskan. Beliau tidak perlu berdolak dalik dan bermain politik retorik untuk menarik tali kepada badan dunia itu. Jika beliau boleh bertegas kepada Australia dalam isu pemindahan kedutaan dari Tel Aviv ke Baitul Maqdis, bersuara lantang dalam isu campurtangan US dalam isu Palestin dan kehadiran kapal perang di perairan Asia Tenggara, negara China dalam projek-projek mega dan menjaga perairan Asia, hak umat Islam Palestin yang diceroboh oleh Israel dan negara sekutunya.

Mengapa tidak beliau bernada sama dengan Presiden PAS dalam isu ICERD? Apakah sukar bagi PM yang dianggap cerdik dan mempunyai pemikiran jauh ke hadapan untuk berfikir bahayanya ICERD kepada negara seperti Malaysia? Apakah PM tidak terfikir generasi akan datang akan kembali ke zaman penjajahan dahulu sehingga tiada lagi hak milik untuk bangsa dan agama Islam di negara ini?

Tidak sukar memahami bahawa agenda Freemason adalah untuk merosakkan perpaduan agama, bangsa dan negara serta menjajah seluruh dunia. Semua mengetahui bahawa Freemason ialah sebuah pertubuhan antarabangsa yang sering dikaitkan dengan pelbagai teori konspirasi di seluruh dunia.

Segala konspirasi berbentuk penjajahan, peperangan, persengketaan etnik, perang saudara, krisis ekonomi sehingga bencana alam turut dikaitkan dengan agenda Freemason. Mereka sebenarnya mahu menguasai dunia dan melihat Malaysia salah satu negara yang menjadi perhatian untuk dimusnahkan.

Atau apakah beliau sengaja mahu memainkan isu perkauman dan agama agar berlaku persengketaan antara agama dan rasa tidak senang di antara rakyat supaya beliau dapat menangguk di air yang keruh suatu ketika nanti? Mungkinkah beliau sendiri mempunyai agenda tersirat menjadi wira pejuang agama dengan menjadikan DAP serta beberapa kerat pemimpin sebagai kambing hitam untuk disembelih?

Apakah ia langkah terbaharu bagi memastikan rakan politik dalam PH itu yang menjadi duri dalam daging partinya itu bakal tersingkir dari arus politik semasa manakala bakal PM kelapan yang akan menggantikannya juga turut terkorban? Dalam politik, masa itu sangat berharga dan setiap detik menjadi penentu hala tuju politik negara. – HARAKAHDAILY 22/11/2018

Penulis adalah Ahli jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI.

- Advertisement -