ICERD: Dewan Ulamak kerah turun 8 Dis

- Advertisement -

KEHARMONIAN dan keadilan yang mutlak adalah apabila Islam memimpin. Ini kerana Islam tidak memperjuangkan blok-blok bangsa yang disebut nasionalisme. Islam adalah agama yang meletakkan ketertinggian aqidah dan semua bangsa boleh bersama-sama Islam.

- Advertisement -

Penindasan perkauman berlaku apabila adanya sifat asabiyah jahiliyah dalam mempertahankan kronisme dan kebatilan sebagaimana di zaman arab jahiliyah. Penindasan kaum juga berlaku apabila berlakunya sifat melampau dan ekstrim ke atas sesuatu kaum seperti kelakuan Zionis Yahudi di Palestin serta adanya sifat dendam kesumat yang tidak berperikemanusiaan sebagaimana yang dilakukan oleh ektrimis Buddha di Myammar ke atas etnik Rohingya.

Sesungguhnya Islam hadir memimpin ummah dengan menyelesaikan kemelut pergaduhan dan perbalahan. Teras ukhuwwah dan penyatuan dijadikan dasar kehidupan bermasyarakat. Firman Allah SWT:

{وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ}

Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu daripada neraka itu. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.” [Aali-Imran: 103]

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) sangat kesal dengan cadangan kerajaan PH untuk meratifikasi ICERD di negara ini. Pihak kerajaan perlu mendengar bantahan rakyat bahkan hal ini turut mendapat tentangan hebat daripada pakar perlembagaan, pengamal undang-undang, para mufti dan NGO-NGO lain.

Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Hamid dalam satu tulisannya menyebut: “Saya katakan, tujuan utama konvensyen itu hendak disahkan adalah kerana mereka mahukan keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak itu, dihapuskan. Mereka tidak berkata dengan terus terang bahawa itulah tujuan mereka, untuk mengelak bantahan. Maka, mereka menuntut supaya Malaysia mengesahkan konvensyen berkenaan. Apabila Malaysia mengesahkannya, Perkara 153 dan dasar yang bersifat diskriminasi kaum yang telah dipersetujui sebagai balasan kepada persetujuan orang Melayu memberi kerakyatan kepada orang bukan Melayu, yang telah termaktub dalam Perlembagaan itu, akan terpaksa dimansuhkan.”

Sedangkan di Malaysia, perlembagaan yang sedia ada memberikan hak kepada kaum selain melayu sebagai warganegara dan boleh mendapat hak-hak sebagaimana warganegara lain seperti pekerjaan, bersuara, bahkan mencalon dan dicalonkan dalam pilihan raya.

Keharmonian antara kaum ini telah dicapai menerusi Kontrak Sosial sewaktu kemerdekaan. Ini menjadi bukti sekalipun perbezaan kaum, namun setiap kaum boleh mengamalkan kepercayaan dan adat budaya mereka tanpa sebarang gangguan.

Islam tidak pernah mendiskriminasi penganut agama lain apatah lagi kaum dan bangsa. Malah Islam sendiri menyuruh berbuat baik serta berlaku adil kepada golongan non muslim. Firman Allah SWT:

{لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ}

Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” [Al-Mumtahanah: 8]

Adapun sikap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy yang membuat kenyataan memburukkan negara kita termasuklah tuduhan berlakunya diskriminasi kaum adalah tidak berasas.
Kenyataan yang tular melalui video berdurasi 2 minit lebih di media sosial itu wajar diambil tindakan segera. Kenyataan berkenaan jelas memburukkan nama baik negara dan suatu pengkhianatan kepada Malaysia tercinta.

Pihak DUPP juga menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira anutan agama, bangsa dan politik untuk turun secara aman ke Dataran Merdeka pada 8 Disember 2018 (Sabtu) nanti bagi memberi teguran kepada pemimpin kerajaan PH agar menarik balik atau membuat kenyataan jelas menolak ratifikasi ICERD di Malaysia. Jangan biarkan rakyat dalam keresahan serta membuka ruang kepada campur tangan kuasa asing dalam urusan pentadbiran negara kita.

“Islam Memimpin”
“Islam Jalan Penyelesaian”

USTAZ DATO’ DR. HAJI MAHFODZ MOHAMED
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
13 Rabiul Awal 1440 / 21 November 2018 – HARAKAHDAILY 21/11/2018

icerd

- Advertisement -