PTPTN: Hasrat temui menteri tidak tercapai

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kumpulan demonstrasi jalanan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) yang berarak sejauh 9 km dari Universiti Malaya ke Parlimen kecewa apabila hasrat mereka untuk bersemuka dengan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik tidak tercapai.

- Advertisement -

Menteri Pendidikan itu, menghantar wakilnya untuk menerima “Memorandum Isu PTPTN” yang mengandungi hasrat dan suara mahasiswa yang mahu beliau menyatakan komitmen usaha untuk mengubah polisi PTPTN dalam Belanjawan 2019.

Ketika sesi penyerahan disampaikan oleh Presiden GAMIS, Faizuddin Zai kepada wakil Dr Maszlee, beliau mengambil peluang bertanyakan perihal usaha yang telah dibuat oleh menteri pendidikan itu mengenai polisi yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam belanjawan terhadap isu PTPTN.

Pegawai yang mewakili Menteri Pendidikan itu sukar menjawab pertanyaan Faizuddin dan menjaminkan memorandum tersebut akan disampaikan kepada Maszlee.

Ujarnya lagi, Maszlee telah berjumpa dengan beberapa kumpulan mahasiswa menyatakan isu berkaitan PTPTN.

Berlaku asakan soal jawab antara Faizuddin dengan wakil menteri itu yang akhirnya wakil Maszlee akur komitmen menghantarnya untuk menerima memorandum tersebut manakala keputusan akan ditentukan oleh Maszlee.

“Saya punya tugas hanya menerima memorandum sahaja keputusan akan dibuat oleh YB (Dr Maszlee Malik),” kata wakil menteri itu.

Faizuddin membidas itu bukan komitmen tetapi adalah membakulsampahkan suara mahasiswa.

Presiden GAMIS itu menerangkan polisi baharu yang diperkenalkan kerajaan PH hari ini kepada peminjam PTPTN adalah membebankan lepasan graduan selepas PH tidak dapat menunaikan janji penangguhan bayaran balik pinjaman bagi peminjam bergaji bawah RM4,000 seperti yang diumumkan dalam manifesto PH.

“Teman-teman walaupun sudah ramai yang berjumpa seperti yang dimaklumkan tadi.

“Kami telah berjalan 9 km untuk mengatakan protes bahawasanya anak muda ini memang tidak boleh hidup dengan polisi ini. Namun sampai sekarang masih belum ada lagi komitmen (Menteri Pendidikan), kalau ada sudah diberitahu.

“Kita sangat kecewa! kita minta Tun Mahathir ubah terus Maszlee Malik, keluarkan Maszlee Malik! Beliau hanya academician tidak layak jadi menteri, rosak punah pendidikan negara,” katanya.

PH sebelum ini akui gagal menunaikan janji mengurangkan beban peminjam dengan membenarkan penangguhan pembayaran balik pinjaman bagi mereka yang mendapat gaji bulanan bawah RM4,000.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2019 memperkenalkan pembayaran balik PTPTN secara potongan berjadual antara dua dan 15 peratus daripada pendapatan bulanan pinjaman.

Langkah tersebut hanya terpakai kepada peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan. – HARAKAHDAILY 14/11/2018

- Advertisement -