Pan Borneo: MP harap fasa kedua diteruskan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan dirayu agar meneruskan fasa kedua pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo bagi melengkapkan jajaran yang bermula di Lundu, Sarawak hingga Kota Kinabalu, Sabah.

- Advertisement -

Perkara itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah yang melihat projek tersebut mempunyai potensi serta kesan terhadap pembangunan ekonomi kepada penduduk sekitar.

Menurutnya, kekayaan yang dimiliki oleh Brunei akan turut dinikmati oleh penduduk Sabah dan Sarawak jika projek lebuh raya itu diteruskan oleh kerajaan sekarang.

“Saya merayu kepada kerajaan agar melihat kembali kepentingan Pan Borneo agar projek ini dapat diteruskan kerana ia memberi manfaat kepada semua rakyat.

“Jangan menjadikan pasport berlainan serta masalah cermin kereta sebagai alasan untuk tidak melaksanakan projek yang kini ditangguhkan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 di Dewan Rakyat, hari ini.

Pembinaan lebuh raya fasa kedua ini melibatkan jalan raya baharu satu lorong dua hala sepanjang 32.7 kilometer menelan kos RM700 juta yang dijangka siap pada Disember 2018.

Penantian rakyat Sabah dan Sarawak untuk menikmati sebuah lebuh raya sempurna, selesa dan tanpa tol selama 30 tahun itu dilihat semakin kabur apabila kerajaan menangguhkan projek tersebut. – HARAKAHDAILY 23/10/2018

- Advertisement -