Anwar perlu pertahan manifesto PH

- Advertisement -

PADA hari ini, Dewan Rakyat akan kembali bersidang untuk Mesyuarat Kedua bagi Penggal Pertama Parlimen ke-14. Tahniah diucapkan kepada YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang bakal kembali ke Parlimen setelah memenangi Pilihan Raya Kecil Port Dickson yang berlangsung baru-baru ini.

- Advertisement -

Kita akur dengan keputusan rakyat di Port Dickson dan berterima kasih kepada pengundi yang telah memberi undi yang kedua terbesar kepada PAS walaupun dalam keadaan berdepan lawan yang mempunyai nama yang lebih besar dan gah.

Walaupun tidak mempunyai sebarang jawatan dalam kerajaan, pihak lawan sudah pun mendapat ruang untuk masuk berkempen ke dalam kem tentera. Ternyata, di Port Dickson, kalah adalah biasa untuk PAS, jika menang, itu luar biasa.

Bagi warga Port Dickson, kesungguhan dan komitmen petugas-petugas sukarelawan PAS yang berkempen di medan yang sukar ini adalah sesuatu yang luar biasa bagi kebanyakan orang biasa.

Bendera, bunting, poster calon PAS kelihatan sangat menyerlah di Port Dickson. Tahniah diucapkan kepada semua yang telah berkorban wang, material, tenaga, idea dan masa.

Siapa yang tidak teruja jika bakal wakil rakyatnya bakal dinobatkan sebagai Perdana Menteri? Yang tidak teruja barang kali yang bakal melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Oleh yang demikian, kita mengharapkan dengan adanya Dato’ Seri Anwar di Parlimen, beliau akan mempertahankan janji manifesto PH yang dirangka oleh partinya dan komponen PH yang lain dan menunaikan janji sebelum PRU14.

Kita tidak mahu melihat Dato’ Seri Anwar mengulang kata-kata Perdana Menteri sekarang yang dengan mudah beralasan bahawa manifesto itu dibuat tanpa menjangkakan PH akan menang.

Haji Ahmad Amzad Hashim
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
15 Oktober 2018/ 6 Safar 1440 – HARAKAHDAILY 15/10/2018

- Advertisement -