Fahaman Machiavelli merosakkan amalan

- Advertisement -

SHEIKH Habannakah menyebutkan dalam kitabnya berkaitan kewujudan kemunafikan dalam sektor politik, kerajaan dan pentadbiran. Ia digambarkan sebagai tingkah laku sosial yang bersandarkan kepada tipu daya, pengkhianatan dan kepura-puraan.

- Advertisement -

Secara zahirnya dilihat mengutamakan kebaikan umum. Diperlihatkan juga dengan pendekatan yang lembut dan berhikmah, mengharapkan perkara-perkara yang baik dan menawarkan pelbagai janji manis tanpa niat untuk melaksanakannya daripada awal.

Machiavelli dan Machiavellianism

Niccolo Machiavelli (3 Mei 1469 – 21 Jun 1527) merupakan seorang ahli falsafah, diplomat dan penulis yang berasal dari Itali semasa Zaman Renaissance. Dia juga merupakan salah seorang pengasas utama sains politik moden.

Istilah ‘Machiavellianism’ digunakan secara meluas untuk menyifatkan ahli politik yang tidak bermoral sebagaimana yang digambarkan oleh Machiavelli di dalam bukunya yang terkenal iaitu ‘The Prince‘.

Machiavelli menggambarkan kelakuan tidak bermoral seperti penipuan dan pembunuhan orang yang tidak bersalah adalah taktik biasa dan berkesan dalam berpolitik untuk meraih kekuasaan.

Buku ‘The Prince

Buku ‘The Prince‘ membicarakan berkaitan prinsip atau teori politik yang memberi pengaruh besar kepada pola pemikiran pemimpin dunia. Falsafah politik Machiavelli mula diterima pakai oleh orang ramai apabila ia dilihat realistik.

Walaupun ada yang menyatakan beberapa prinsip yang dikemukakan tidak lagi sesuai diguna pakai dalam konteks negara demokrasi, namun masih ada unsur pemikiran Machiavelli yang masih relevan diamalkan terutamanya berkaitan meraih dan mengekalkan kekuasaan berasaskan dua perkara iaitu nasib (fortune) dan kecerdikan (virtue).

Buku ini terkenal kerana ia mengemukakan cadangan-cadangan yang licik dan realistik bertujuan untuk mengekalkan kuasa. Penguasa dibenarkan memanipulasi, menipu dan mengeksploitasi orang lain asalkan matlamat mereka dapat dicapai.

Machiavellian membentuk cara berfikir pragmatis dan oportunis

Machiavelli telah memperkenalkan konsep ‘Matlamat Menghalalkan Cara’.

In the actions of all men, and especially of princes, where there is no court to appeal to, one looks to the end. So let prince win and maintain his state: the means will always be judged honorable, and will be praised by everyone.

Dengan matlamat mengekalkan kuasa pemerintahan dan kemajuan negara, maka, penguasa dibenarkan untuk melakukan apa sahaja cara tanpa mengira benar atau salah untuk mencapai matlamat.

Menurut kaca mata Machiavelli, terdapat beberapa ciri yang perlu diikuti oleh pemimpin untuk memelihara kuasa dan negaranya. Antaranya ialah;

●     Penguasa perlu fleksibel tanpa sempadan akhlak 

Menurut Machiavelli, penguasa yang baik adalah penguasa yang tidak menjadikan moral sebagai penentu untuk bertindak kerana ia akan menghadkan kuasa. Penguasa bebas untuk melaksanaan atau meninggalkan moral bergantung kepada keadaan.

     Penguasa perlu belajar untuk menjadi jahat 

Bagi Machiavelli, penguasa perlu memiliki sifat penjenayah (criminal virtue). Tidak mengapa bertindak ganas, kejam dan jahat asalkan dapat memelihara kuasa dan kestabilan masyarakat tetapi ia perlu berpada-pada.

Antaranya disarankan untuk bertindak kejam terhadap musuh politik dan berbuat baik kepada orang bawahan agar tidak berlaku pemberontakan ke atasnya.

Sekiranya ada kerja kotor yang terpaksa dibuat untuk mengekalkan kuasa dan negara, pemimpin perlu mengarahkan orang lain sebagai kambing hitam untuk melaksanakannya tanpa melibatkan pemimpin secara langsung.

     Penguasa perlu memilih menjadi yang ditakuti bukan dikasihi 

Menurut Machiavelli, sekiranya seorang penguasa perlu memilih sama ada untuk disayangi atau ditakuti, maka pilihlah untuk ditakuti kerana keselamatan dan kuasa akan lebih terjamin dalam keadaan tersebut. Sekiranya dikasihi, dibimbangi pemimpin akan dipergunakan rakyat disamping kononnya ditakuti bukan bererti dibenci.

     Penguasa perlu bijak memanipulasi emosi dan sentimen orang bawahan 

Bagi Machiavelli, menipu tidak mengapa asalkan dapat mengekalkan kekuasaan dan keamanan negara yang jauh lebih bernilai. Dia sedar bahawa penguasa yang jujur dan amanah tidak akan mampu bertahan lama walaupun rakyat mencintainya.

Contohnya, penguasa perlu menaburkan pelbagai janji demi meraih sokongan walaupun dilihat tidak realistik. Sekiranya tidak mampu dilaksanakan, cukup sekadar memanipulasi keadaan serta meneruskan lakonan dan kepura-puraan.

Walaupun kelihatan jahat, inilah realiti politik dan masih ramai yang terpedaya.

     Penguasa perlu bijak memainkan watak 

Machiavelli berpendapat bahawa seorang penguasa haruslah menguasai watak manusia (man) dan binatang (beast) kerana terdapat dua bentuk pertempuran iaitu dengan undang-undang (law) dan juga dengan paksaan (force).

Watak kemanusiaan semata-mata tidak cukup untuk mengekalkan kekuasaan. Maka, seorang penguasa perlu memainkan watak binatang melalui penguasaan watak singa dan musang sekali gus.

Singa berkebolehan menakutkan serigala, namun begitu, ia kerap kali juga tidak menyedari perangkap yang ada. Manakala musang, ia berkebolehan untuk menghadapi perangkap tetapi tidak dapat membela diri daripada serigala.

Dengan menjadi singa dan musang, penguasa kuat untuk menghadapi musuh serta dalam masa yang sama mampu menghadapi perangkap.

Perumpamaan tersebut mengajar penguasa agar menggunakan cara-cara yang licik dan tidak berperikemanusiaan demi menjaga kekuasaannya.

     Penguasa perlu mengeksploitasi pekerja dengan kebodohan 

Bagi Machiavelli, untuk beroleh kejayaan, seorang pemimpin perlu dikelilingi oleh Menteri-menteri yang berkemampuan dan setia. Pemimpin yang cermat seharusnya tidak mudah memberi kepercayaan dan menyingkirkan Menteri yang berkepentingan dan menggugat kedudukannya.

Amalan Machiavelli ternyata bercanggah dengan Islam 

Amalan pragmatis Machiavelli tidak mengatakan bahawa dia adalah ateis. Dia tidak mempersoalkan kewujudan Tuhan, tetapi dia mengenepikan fungsi agama dalam kehidupan masyarakat dan politik.

Agama hanya dianggap sebagai instrumen atau alat yang digunakan untuk meraih dan mengekalkan kekuasaan yang boleh diguna pakai atau ditinggalkan.

Konsep ‘Matlamat Menghalalkan Cara’ yang diperkenalkan oleh Machiavelli ini ternyata bercanggah dengan Islam kerana Islam menetapkan syarat bahawa matlamat dan cara kedua-duanya akan diterima sekiranya selari dengan syariat agama.

Prinsip yang diketengahkan oleh Machiavelli juga dilihat sangat mirip dengan ciri-ciri dan perilaku golongan munafiq sebagaimana yang diceritakan di dalam al-Quran.

Amalan Machiavelli perlu dijauhi dan ditentang 

Konsep dosa (punishment) dan pahala (reward) perlu difahami dengan baik oleh ahli politik untuk mengelakkan daripada terjebak dengan amalan Machiavelli.

Neraca timbangan nas perlulah digunakan untuk memahami batas kebenaran dan kebatilan supaya terselamat daripada fitnah dan kekeliruan terutamanya dalam arena politik.

Keadaan ini bukanlah tertumpu hanya kepada golongan yang memerintah dunia atau negara. Bahkan, ia berkait rapat juga dengan kepimpinan di setiap peringkat termasuk mereka yang mendakwa membawa Islam.

Peringatan ini juga perlu diambil perhatian oleh rakyat, ahli atau orang bawahan agar berhati-hati dan tidak bersikap simplistik dalam memilih dan mentaati kepimpinan.

Teruslah berpegang teguh dengan ajaran Nabi S.A.W walaupun ketika ramai manusia yang melihat agama sudah tidak relevan untuk diamalkan sepenuhnya sekiranya mahu hidup senang di dunia.

Nabi S.A.W bersabda:

يَأْتِى عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ الصَّابِرُ فِيهِمْ عَلَى دِينِهِ كَالْقَابِضِ عَلَى الْجَمْرِ

“Akan datang kepada manusia suatu zaman, orang yang berpegang teguh pada agamanya seperti orang yang menggenggam bara api.”

[HR. Tirmidzi]

AISHAH ADILAH
8 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 8/10/2018

FB IMG 1538999440951

- Advertisement -