Muktamar Ke-64: Imbau sejarah harakah ummah

- Advertisement -

RAKYAT Terengganu sudah tak sabar, berdebar dan adrenalin semakin kencang seperti perawan manis menunggu ketibaan rombongan meminang, segalanya indah nian. Sarat dengan harapan dan memoles sebuah impian dengan segala persiapan yang telah diatur rapi selama berbulan-bulan tanpa lelah oleh petugas PAS Terengganu dan panitia Muktamar PAS Pusat. Cahaya rembulan memantulkan warna indah pada kubah dan atap Stadium Tertutup Gong Badak, yang dibina bersebelahan stadium bola sepak yang pernah runtuh atap, semuanya menunggu para perwakilan dan pemerhati dari seluruh pelosok negara.

- Advertisement -

Terengganu menjadi tumpuan para amilin bahkan pencandu politik tanah air, bukan kerana sengitnya persaingan kuasa PAS Umno, namun juga inilah tapak kuasa PAS selain Kelantan. Terengganu dalam sejarahnya telah melahirkan ramai pemimpin PAS, tiga kali dimenangi oleh PAS dalam Pilihan raya Umum 1959, 1999 dan 2018. Elok juga kita mengenang pengorbanan para leluhur yang berjuang menubuhkan harakatul ummah ini sehingga hampir mencecah umur 67 tahun ini.

Ulama dan agamawan Tanah Melayu yang berhimpun di Gunung Semanggol telah mengasaskan Hizbul Muslimin pada Mac 1948, namun umur parti Islam sangat singkat dengan pengenalan Ordinan Darurat pada Jun 1948. Ruang politik yang tidak kondusif di zaman darurat dengan penangkapan massa secara rambang telah membentur kebangkitan rakyat. Segelintir ulama telah menyertai Biro Agama Umno dan seterusnya telah menubuhkan Persatuan Islam Se-Tanah Melayu pada 24 November 1951.

Dasar perjuangan PAS ialah untuk membebaskan Tanah Melayu daripada belenggu penjajahan British dan menegakan sebuah pemerintahan Islam berlandaskan al-Quran dan Hadis. Maka untuk mencapai matlamat itu, PAS telah bekerjasama dengan parti-parti yang lain di Persekutuan Tanah Melayu untuk mendesak British hak pemerintahan sendiri dan merdeka. PAS telah menghantar tiga orang wakil iaitu Mohad Asri Haji Muda, Tuan Haji Ahmad Tuan Hussien dan Ustaz Uthman Abdullah.

Dalam persidangan itu, PAS mempertahankan pendirian politiknya iaitu Persekutuan Tanah Melayu adalah milik bangsa Melayu. Oleh kerana itu, PAS membawa usul bahawa apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, kedudukan orang Melayu sebagai pemilik negeri ini yang asal dan sah tidak harus dilupakan. PAS telah meminta supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi negara secepat mungkin sebagai pengganti bahasa Inggeris. PAS juga mendesak supaya agama Islam diletakkan di tempat yang penting di Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka nanti. PAS juga tidak menyokong cadangan Umno-MCA untuk menjadikan prinsip Jus Soli sebagai syarat kelayakan mengundi bagi orang-orang asing. Bagi PAS, orang-orang asing tidak mempunyai hak untuk mengundi kerana mereka bukan rakyat negara itu. PAS juga menolak cadangan perikatan Umno-MCA yang mahukan suruhanjaya bebas dilantik untuk menggubal perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Sungguhpun berbeza pendapat berhubung dengan corak kemerdekaan Tanah Melayu yang bakal merdeka, PAS tidak mengkhianati atau menghalang usaha-usaha parti perikatan parti tersebut sehubung dengan tuntutan kemerdekaan.

Musuh PAS beberapa dekad selepas merdeka telah memfitnah PAS sebagai parti penghalang kemerdekaan, sebuah parti yang tidak ingin kepada kemerdekaan dan dilahirkan oleh British. Sejarah pula menyaksikan ulamalah yang mengucur keringat dalam memperjuangkan kemerdekaan.

PAS memberikan sokongan sepenuhnya terhadap rombongan Tunku Abdul Rahman, Yang Dipertua Umno ke London pada bulan September 1953 untuk.menyerahkan memorandum yang disusun oleh Jawatankuasa Persidangan Kebangsaan kepada Kerajaan British bagi menuntut diadakan segera pilihan raya di peringkat Persekutuan. Hasil desakan bersepadu daripada parti-parti politik itu, British bersetuju untuk mengadakan Pilihan Raya Persekutuan pada tahun 1955.

Pada bulan Ogos dan Oktober 1953, PAS menyertai persidangan kebangsaan tajaan perikatan Umno-MCA bagi membahaskan cadangan untuk mendesak kerajaan British mengadakan Pilihan Raya Persekutuan 1954, iaitu sebagai langkah awal ke arah pemerintahan sendiri. Maknanya PAS melakukan apa sahaja bagi memastikan jalan kemerdekaan dapat diraih, pilihan raya yang pertama sangat penting bagi menyediakan rakyat Tanah Melayu untuk berkerajaan sendiri.

Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) kemudiannya didaftarkan dengan Pandaftar Persatuan sebagai Pan-Malayan Islamic Party (PMIP) atau PAS (dua minggu) sebelum 31 Mei 1955 iaitu hari penamaan calon pilihan raya pertama Persekutuan Tanah Melayu yang telah berlangsung pada 27 Julai 1955. Nama Persatuan Islam Se-Malaya kemudiannya ditukar dalam persidangan pada 25-27 Disember 1971, ia ditukar sekali lagi menjadi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan kekal hingga ke hari ini.

Sejarah emas perjuangan PAS tak mampu dipadamkan oleh musuh, Muktamar PAS yang diadakan saban tahun adalah medan mengukuhkan organisasi, mengoreksi kelemahan dan memugar idea-idea memberdayakan keutuhan perjuangan. PAS telah berusia 67 tahun, jasanya bukan kepalang kepada tanah air ini. Menjadi kuasa semak dan imbang yang berkesan di peringkat Persekutuan, malah menjadi kerajaan di Kelantan dan Terengganu, dua buah negeri jantung hati orang Melayu di negara ini. Jom kita meriahkan Muktamar Tahunan PAS kali ke-64. Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera! – HARAKAHDAILY 13/9/2018

- Advertisement -