Pengisytiharan taman-taman Negeri Terengganu

- Advertisement -

SIDANG media pada hari ini diadakan adalah untuk mengisytiharkan Taman Taman Negeri Terenganu yang melibatkan Taman Negeri Lawit-Cenana di Kenyir dan Taman Negeri Setiu Wetland.

- Advertisement -

Untuk makluman semua, keluasan tanah Taman Negeri Lawit-Cenana yang telah diwartakan adalah 10,386 hektar bagi fasa pertama daripada keluasan sebenar 15,000 hektar. Manakala bagi keluasan tanah yang telah diwartakan untuk Taman Negeri Setiu Wetland sebanyak 432.4 hektar bagi fasa pertama dan 1,088.32 hektar kawasan Tasik Berombak dalam proses untuk diwartakan bagi fasa kedua.

Asas pewartaan taman-taman negeri ini mengambil kira beberapa faktor utama seperti:

a) Kawasan tadahan air yang penting, yang menyumbang kepada pengurangan risiko kesan banjir di Terengganu. Pada masa yang sama,kita mengharapkan dengan adanya Taman Negeri ini akan membantu pemeliharaan kawasan tadahan air yang menyumbang kepada sumber eletrik dan sumber air bersih untuk rakyat.

b) Dikenal pasti sebagai kawasan utama untuk pemeliharaan pelbagai flora dan fauna termasuklah spesis haiwan terancam seperti Gajah Asia (Elephas Maximus), Tapir Malaysia (Tapirus Indicus) dan Harimau Malaya (Panthera Tigris Tigris) di Kenyir serta Tuntung Laut (Callagur borneoensis) dan Penyu Agar (Chelonia mydas) di Setiu.

c) Disasarkan untuk menjadi Kawasan Burung Penting oleh Birdlife International dengan 291 spesis burung dalam sempadannya. Malah,terdapat sembilan spesis burung enggang boleh ditemui di kawasan Taman Negeri Lawit-Cenana.

Pengisytiharan ini melambangkan sebahagian usaha dan komitmen kerajaan negeri dalam melindungi warisan asli dan alam semulajadi di negeri Terengganu.

Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu telah diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan Taman Negeri ini. Majlis tersebut akan dianggotai oleh wakil dari agensi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Majlis ini juga akan bertanggungjawab mengawal dan menguruskan taman negeri termasuk memastikan pihak pihak berkepentingan dalam industri eko-perlancongan dijaga dengan baik dan teratur, terutamanya penduduk sekitar.

YAB Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Menteri Besar Terengganu – HARAKAHDAILY 15/8/2018

- Advertisement -