PRK Sg Kandis: Utamakan menolak mudarat

najhan
- Advertisement -

KEMENANGAN Pakatan Harapan dalam PRU14 lalu adalah kemenangan songsang manifestasi penggunaan teori ‘Machiavelli’ matlamat menghalalkan cara dengan fitnah dan persepsi negatif.

- Advertisement -

Kemenangan ini hasil daripada fitnah dan manipulasi minda para pengundi untuk undi menolak PAS khususnya di Selangor.

Tambahan lagi janji-janji pilihan raya PH kononnya akan dilaksanakan dalam tempoh selama 100 hari selepas memerintah hanya kini menjadi tanda tanya dan rakyat juga sedang dimangsakan.

Terbaru, beberapa kenyataan pemimpin Kerajaan PH dan inisiatif mereka ke arah mengganggu gugat kedudukan Islam dan kepentingannya dibuat secara terang-terangan mengenepikan sentimen dan hak umat Islam teramai dalam negara ini. Seperti kenyataan Menteri Agama berkenaan Hifz-din dalam Maqasid Syariah yang ditakwilkan mengikut selera akal tanpa panduan ilmu Islam yang sebenar.

Kebobrokan pemimpin Kerajaan PH ini ialah kerana mereka semua telah menjadi puppet oleh DAP ‘the puppet master’ untuk senantiasa memastikan di negara ini di mana agenda penolakan Islam atau Islam liberalisme dan pluralisme bergerak atas landasan tersebut.

Ketidakpastian kedudukan Islam dalam negara dan ia diolah rupa bentuk kepada Islam mengikut acuan sekuralisme dan liberalisme menggusarkan umat Islam di negara ini.

Pendirian dan bahaya agenda ini perlu ditentang secara serius oleh rakyat menerusi signal undi dan kemenangan terhadap calon Pakatan Harapan di Sungai Kandis.

Pilihan raya Kecil Sungai Kandis adalah satu bentuk peluang kepada rakyat khasnya umat Islam untuk menyedarkan para pemimpin Pakatan Harapan yang kini masih mengelamun kuasa yang dimenangi oleh mereka secara tanpa diduga, supaya mereka kembali sedar dan segar bahawa rakyat tidak boleh diperbudakkan dan diperbodohkan.

Kuasa hak demokrasi terletak di tangan rakyat untuk memastikan bahawa undi mereka adalah berbaloi dalam PRU14 yang lalu.

Senario terkini dengan apa yang diusahakan oleh Kerajaan PH, maka kami melihat mudarat yang bakal dibawa oleh Kerajaan PH lebih mudarat kepada Islam dan kepentingannya merujuk kepada kaedah ‘mengambil mudarat lebih ringan daripada dua mudarat’ dan juga keadah ‘menolak mudarat diutamakan berbanding memperolehi manfaat’.

Sekiranya calon PH kalah di Sungai Kandis, penduduk Sungai Kandis tidak beroleh mudarat umum. Tetapi Kerajaan PH akan berhati-hati dengan tindakan mereka. Malah kemenangan calon PH, akan memperkukuhkan kesombongan dan kebobrokan kerajaan PH, malah kemenangan itu bakal membuat PH semakin lupa diri dan menganggap diri sentiasa benar.

Sebaliknya, sekiranya diberi kemenangan kepada calon BN, sekurang-kurangnya pemimpin Kerajaan PH tersedar daripada kelamunan dan kesombongan mereka bahawa rakyat sedang memerhati dan menilai segala tindak tanduk mereka.

Umno sudah menjadi sebahagian blok pembangkang, maka PAS menggunapakai kaedah taawun siyasi iaitu kerjasama politik antara blok ini menentang pihak Kerajaan PH atas prinsip demokrasi dan sebagai hak semak dan imbang (check and balance) kepada pemerintah yang sedia ada (Government Of The Day).

Keputusan para pimpinan PAS mengenai isu PRK Sungai Kandis sudah tentu telah melalui proses perbincangan dan ijtihad siyasi pro kontra dalam semua sudut demi mencapai matlamat Islam dan melalui selok belok hukum hakam dalam fiqh Politik Islam yang dihadam oleh para ulama.

Justeru itu, adalah menjadi kewajaran kepada para pengundi untuk mengenepikan calon PH di Sungai Kandis.

“Sejahtera Bersama Islam”

Ustaz Muhammad Najhan Halim
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
30 Julai 2018 / 17 Zulkaedah 1439 – HARAKAHDAILY 30/7/2018

- Advertisement -