Tatacara pelantikan dedah pertikaian masa depan

Datuk Ahmad Amzad Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan protes oleh Ahli Parlimen dari kalangan pembangkang bertindak keluar dewan adalah sebagai isyarat jelas bahawa Dewan Rakyat terdedah kepada pertikaian selanjutnya.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, kegagalan pematuhan peraturan atau ‘Point of Order‘ dalam tatacara pemilihan Yang Di Pertua adalah kecacatan jelas.

Insiden itu ujarnya, sangat ‘menjolok mata’ apatah lagi ianya agenda pertama dan berlaku pada hari pertama sidang selepas proklamasi Mesyuarat Parlimen penggal baharu pasca PRU14.

Lebih-lebih lagi tempelaknya, dilakukan oleh pihak kerajaan yang kuat mencanang iltizam kononnya untuk menegakkan ‘Rule of Law‘ serta pelbagai janji manis lainnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Takiyuddin Hassan menyatakan keyakinan bahawa tidak mungkin notis berkaitan pelantikan itu dibuat sebelum 2 Julai yang menjadi tarikh akhir.

Namun akuinya kecewa, kerana tidak diberi peluang kepada pembangkang membangkitkan usul berkaitan ‘Point of Order’ itu sebelum pelantikan dibuat.

“Kita tidak boleh tunggu selepas lantik Speaker. Ini berkaitan prosedur pelantikan. Mesti dibenarkan. Sepatutnya kami dibenarkan untuk bangkitkan peraturan mesyuarat,” ujarnya kepada media.

Beliau turut tidak menolak perkara tersebut mungkin bakal dicabar pihak tertentu ke mahkamah melibatkan peruntukan peraturan mesyuarat 4 (1) sama ada bercanggah dengan perlembagaan.

Bagaimanapun maklumnya, PAS memilih untuk terus angkat sumpah demi kepentingan rakyat kerana jika tidak sepanjang persidangan 20 hari tidak boleh mengemukakan sebarang perbahasan di dewan.

Berhubung pemilihan Dato’ Seri Zahid Hamidi sebagai Ketua Pembangkang, PAS jelasnya tidak terikat dengan BN, sebaliknya punya pendirian sendiri, sedangkan amalan pemilihan itu adalah kepada parti yang punya ramai anggota. – HARAKAHDAILY 16/7/2018

- Advertisement -