Malaysia dalam geo-politik baru Asia Tenggara (Siri 1)

- Advertisement -

PENGENALAN

- Advertisement -

Kedudukan Malaysia di Laut China Selatan menjadikan negara ini sebagai salah sebuah Negara Islam yang berkedudukan paling strategik dalam perkembangan politik dan ekonomi global. Menurut Friedman, peta tumpuan politik dan ekonomi global pada masa yang akan datang beralih dari Lautan Atlantik ke Lautan Pasifik, justeru mana-mana negara yang mendominasikan Lautan Pasifik akan menjadi kuasa besar dunia. Kedudukan Laut China Selatan yang boleh dianggap sebagai sabagai satu juzuk kepada Wilayah Lautan Pasifik, boleh jadi merupakan rantau terpenting kepada persaingan politik dan ekonomi global pada masa kini. Negara China dan Jepun, negara Ekonomi kedua dan ketiga terbesar di dunia, terletak berhampiran rantau ini di samping Negara-negara ASEAN yang juga mempunyai peranannya yang penting. Situasi ini sekali gus meletakkan Malaysia, sebagai salah sebuah Negara Islam yang berperanan penting dalam perkembangan geo-politik serantau, secara tidak langsung berperanan penting di peringkat global.

Rantau Asia Tenggara hari ini

Mutakhir ini, Negara-negara ASEAN yang terletak di rantau Laut China Selatan dilihat semakin penting dari segi kestabilan politik dan ekonomi global. Kawasan ini telah diisytiharkan sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) pada tahun 1971, menandakan komitmen negara-negara anggota untuk menjadikan kawasan ini aman dan stabil dari segi politik. Manakala pada tahun 2015 yang lalu pula, negara-negara anggota ASEAN telah bersepakat untuk menjadikan ASEAN sebagai komuniti politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya yang akan menyemarakkan lagi pembangunan di rantau ini. Kewujudan keamanan dan kestabilan politik menjadikan rantau ini sebagai rantau yang terhindar dari konflik-konflik besar sejak Perang Vietnam yang lalu. Kerjasama ekonomi dan kedudukannya yang strategik menjadikan rantau ini pula terus makmur dan subur untuk pertumbuhan di masa hadapan. Oleh sebab itu, Asia Tenggara menjadi antara rantau yang paling giat berkembang pada hari ini, dan ASEAN merupakan forum serantau yang memainkan peranan yang sangat penting.

Dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN, terdapat tiga buah Negara Islam yang menjadikan pengaruh Islam cukup besar dalam perkembangan politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya di rantau ini. Negara-negara tersebut ialah Indonesia, Malaysia dan Brunei. Selain daripada tiga Negara Islam tersebut, terdapat komuniti Islam yang agak ramai di negara-negara lain seperti Filipina, Thailand dan Myanmar. Jumlah keseluruhan populasi Islam di rantau Asia Tenggara ini ialah menghampiri 270 juta orang, iaitu hampir separuh daripada populasi keseluruhan. Selain daripada itu, dari segi akar umbi sejarah, pengaruh Islam sememangnya cukup kuat di rantau ini sejak 800 tahun yang lalu. Beberapa Kesultanan Melayu-Islam telah lahir dalam tempoh tersebut seperti Kesultanan Kedah, Kesultanan Melaka, Kesultanan Campa dan Kesultanan Acheh. Kedua-dua faktor silam dan faktor semasa ini, menjadikan pengaruh Islam begitu penting terhadap geo-politik rantau Asia Tenggara hari ini terutamanya dalam aspek kestabilan politik.

Pengaruh Negara China terhadap geo-politik rantau Asia Tenggara juga semakin signifikan semenjak negara itu mengamalkan dasar terbuka mulai awal 1990-an. Hubungan Negara China dan rantau Asia Tenggara bukanlah baru, malah telah bermula sejak zaman silam lagi. Semasa era Dinasti Ming, hubungan diplomatik antara China dan Kerajaan-kerajaan di Asia Tenggara semakin diperluaskan. Berlaku juga migrasi penduduk daripada Tanah Besar China ke Negara-negara Asia Tenggara, sehingga terdapat ramai Etnik Cina yang menduduki Negara-negara Asia Tenggara seperti Singapura, Malaysia, Thailand dan Indonesia. Kelompok-kelompok migran Etnik Cina tersebut, kemudiannya menjadi penting pada hari ini disebabkan mereka menjadi pemain utama pembangunan ekonomi di negara-negara yang dinyatakan. Secara tidak langsung, peranan China dan migran Cina yang dikenali sebagai kelompok Cina Antarabangsa, juga begitu penting dalam mencorakkan geo-politik rantau Asia Tenggara terutama yang berkaitan dengan pembangunan ekonomi.

Disebabkan pengaruh besar China terhadap geo-politik rantau Asia Tenggara ini, maka China telah dianggap rakan dagangan ASEAN yang begitu penting. Akibat daripada krisis mata wang pada tahun 1997, mesyuarat berkala antara ASEAN dan China yang turut melibatkan Jepun dan Korea Selatan telah digerakkan. Forum ini lebih dikenali sebagai ASEAN Plus Three (APT) yang berperanan sebagai penyelaras kerjasama antara ASEAN dengan tiga negara besar Asia Timur. Semenjak perisytiharan Kenyataan Bersama Tentang Kerjasama Asia Timur hasil daripada Sidang Kemuncak APT di Manila pada tahun 1999, negara-negara yang terlibat telah menjalankan perundingan yang berterusan. Di peringkat awal penubuhannya, APT bukan sahaja berunding mengenai perkara yang berkaitan krisis mata wang, tetapi diperluaskan kepada perkara-perkara yang lain seperti perdagangan, keselamatan makanan, pengurusan bencana, pembangunan lestari dan gerakan anti-terrorisme. Dengan tertubuhnya APT ini, kedudukan geo-politik Asia Tenggara menjadi semakin signifikan dalam lakaran peta global.

Semenjak wujudnya APT, forum ini telah memainkan peranan yang cukup penting kepada kestabilan politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya di Wilayah Laut China Selatan dan Asia Timur. Pada tahun 2001, APT telah membentuk satu Kumpulan Pengkaji Asia Timur untuk mencadangkan mekanisme terbaik untuk APT berperanan. Salah satu saranan kumpulan ini ialah dengan penganjuran Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) setiap tahun. EAS yang pertama telah dianjurkan oleh Malaysia pada tahun 2005, yang turut dihadiri oleh Russia sebagai negara pemerhati. Pada persidangan yang pertama ini, keanggotaan APT telah diperluaskan dengan turut melibatkan negara-negara yang boleh menjadi rakan strategik di Asia Timur iaitu India, Australia dan New Zealand. Berikutan dengan itu, APT telah mula dikenali sebagai ASEAN Plus Six (ASEAN+6). Keanggotaan ASEAN+6 ini menjadikan forum ini sebagai salah satu forum serantau yang cukup berpengaruh dari segi politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya di peringkat global.

Peranan ASEAN+6 sememangnya mendapat perhatian dua kuasa besar dunia, Russia dan Amerika Syarikat. Pengaruh besar China di Wilayah Laut China Selatan ini dilihat menimbulkan kebimbangan kedua negara tersebut, justeru usaha perlu diambil untuk mengimbangi dominasi China di wilayah ini. Pada EAS ke-6 tahun 2011, keanggotaan persidangan ini telah diperluaskan dengan turut melibatkan Russia dan Amerika Syarikat. Keanggotaan baru dalam EAS ini kadang-kadang turut dikenali sebagai ASEAN Plus 8. Dengan keanggotaan baru Russia dan Amerika Syarikat ini, menjadikan rantau Asia Tenggara semakin penting dalam mencorakkan kestabilan politik, ekonomi dan masyarakat global. Sepertimana yang disepakati, persidangan ini bukan sekadar menjadi forum untuk membincangkan aspek kewangan dan perdagangan, tetapi juga seluruh aspek yang berkaitan dengan politik, ekonomi dan masyarakat termasuklah alam sekitar dan keselamatan. Dengan pengertian lain, faktor geo-politik Asia Tenggara semakin penting dalam percaturan global.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Pusat Penyelidikan PAS – HARAKAHDAILY 17/7/2018

- Advertisement -