Gesa prosedur lelong dalam anugerah spektrum

- Advertisement -

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat prihatin dengan kerajaan kita yang kehilangan berbilion ringgit dalam potensi hasil dalam penganugerahan lesen spektrum kepada pengendali telefon bergerak di masa lalu, melalui kekurangan ketelusan dalam proses penganugerahan serta harga yang rendah.

- Advertisement -

Perlu diperingatkan bahawa India, yang menghadapi skandal berbilion Rupee dalam peruntukan spektrum 2G, di mana lesen diberikan kepada syarikat yang disenangi, mengambil langkah menyelaraskan harga spektrum di negara itu dengan negara lain di dunia untuk mempercepatkan penggunaan jalur lebar 5G.

Pada 2015, India memperolehi RM638 bilion daripada 900MHz dan jalur lain yang sah bagi 20 tahun. Ini berupa RM31.9 bilion setahun. Sebaliknya, pada tahun ini Malaysia memperolehi RM2.755 bilion termasuk penyelenggaraan tahunan, daripada jalur 700MHz yang sah untuk 16 tahun. Ini bersamaan RM0.17 bilion setahun. Ini satu perbezaan yang amat besar dalam kos berdasarkan saiz negara dan faktor lain.

Spektrum adalah komoditi yang amat berharga, terutama sekali jalur 700MHz, memandangkan kos untuk mengeluarkan perkhidmatan pada frekuensi ini lebih rendah berbanding frekuensi yang lebih tinggi. Oleh sebab itu, harga bagi jalur ini mestilah menjana pendapatan yang wajar dan sesuai kepada tabung kerajaan.

CAP menggesa anugerah bagi 700MHz ditarik balik dengan segera, dan SKMM perlu mendedahkan kriteria yang digunakan untuk memperuntukan spektrum dan menetapkan bayaran yurannya. Paling penting, SKMM mestilah mengadakan lelongan dengan ketelusan dan akauntabiliti bagi peruntukan baharu ini dan semua anugerah pada masa depan.

Proses lelongan mestilah melibatkan panel bebas yang juga terdiri daripada pakar daripada Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan Institut Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (IEEE) (atau mereka yang berkelayakan oleh badan dunia) serta wakil pengguna di Malaysia.

Kami amat prihatin berhubung proses anugerah di Malaysia yang tidak mematuhi Garis Panduan ITU bagi Semakan Metodologi Harga Spektrum dan Persediaan Jadual Yuran Spektrum.

Menurut Pelan Spektrum SKMM 2017, pemohon yang berjaya dipilih berdasarkan kepada siapakah yang membida dengan harga yang paling tinggi, manakala permohonan mestilah berdasarkan prosedur yang ditetapkan oleh SKMM. Ia berkata penilaian tidak terhad kepada pengalaman, teknikal dan cadangan komersial, tetapi mungkin juga termasuk penilaian cadangan harga bergantung kepada jenis tender.

Pada hakikatnya, penganugerahan seharusnya menjalani lelongan yang ditetapkan sepertimana yang disarankan oleh ITU dan IEEE dalam usaha untuk memperuntukkan sumber kepada mereka yang boleh menggunakannya dengan paling bernilai.

Dengan garis panduan dan keperluan yang diwujudkan bagi kepatuhan, lelongan akan menjadi lebih telus dan mengurangkan kontroversi politik, apabila dibandingkan dengan mekanisme peruntukan lain, memandangkan tiada ruang bagi subjektiviti dalam menilai sama ada kriteria melakukan penyelesaian bagi peruntukan.

Ia dikemukakan di Persidangan Antarabangsa Ke 12 IEEE pada Oktober 2016 bahawa sebagai ganti bergantung kepada kerajaan untuk menilai merit pelan perniagaan firma yang bersaing, lelongan memaksa perniagaan untuk memastikan penggunaan spektrum yang lebih berkesan dan sempurna yang diperolehi berdasarkan bidaan.

Perlu diingatkan bahawa Menteri Komunikasi dan Multimedia boleh menentukan harga tetap spektrum yang dianugerahkan kepada pemegang spektrum sedia ada mengikut Seksyen 161 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Juga dipertaruhkan kualiti perkhidmatan kepada pengguna akhir. Pengguna membayar harga yang tinggi tetapi tidak mendapat perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi yang sepatutnya.

CAP mengambil perhatian pengumuman oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Gobind Singh Deo, bahawa Kementerian di bawah kepimpinan baharu akan memberikan tumpuan dalam memperbaiki kelajuan Internet di Malaysia berikutan aduan oleh pengguna. Kami juga mengambil perhatian berhubung pengumumannya pada 20 Jun bahawa pakej jalur lebar dijangka akan turun sekurang-kurangnya 25% akhir tahun ini. Kami berharap beliau akan memberikan lebih perhatian kepada cara spektrum dianugerahkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kementerian Komunikasi dan Multimedia mestilah memastikan bahawa terdapat ketelusan dalam pengeluaran lesen spektrum. Yuran lesen membawa hasil yang cukup dan diperlukan kepada kerajaan, tanpa melepaskan sebarang beban kepada pengguna akhir, manakala kualiti perkhidmatan dikekalkan pada tahap yang tinggi.

SM Mohamed Idris
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang

- Advertisement -