ALLAH S.W.T mengingatkan manusia agar sentiasa mengenang nikmat-Nya yang terlalu banyak sehingga mereka dapat bergerak di atas permukaan air dengan mudah melalui daya apungan yang diizinkan oleh Allah, Firman-Nya:
فَإِذَا رَكِبُوا فِي الْفُلْكِ دَعَوُا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ فَلَمَّا نَجَّاهُمْ إِلَى الْبَرِّ إِذَا هُمْ يُشْرِكُونَ
“Maka apabila mereka menaiki bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepada-Nya. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka naik ke darat, mereka berlaku syirik kepada-Nya.”
[al-Ankabut: 65]
Al-Quran menceritakan bahawa antara teknologi yang Allah kurniakan kepada manusia ialah teknologi merentas jalan air untuk kemudahan manusia berurusan sesama mereka. Manusia mula mencipta kenderaan yang boleh terapung dipermukaan air bagi tujuan tersebut. Lahirlah pelbagai teori dan alat pengangkutan pelbagai jenis hasil kajian manusia melalui ilmu daya apungan.
Mengikut para pengkaji, daya apungan merupakan daya yang bertindak terhadap objek yang terendam dan mengarah ke atas. Jika daya apung adalah kurang daripada berat, maka objek akan tenggelam dan begitulah sebaliknya. Dikatakan penemuan daya apungan ini dicetuskan oleh ahli Matematik Greek, Archimedes yang terkenal sebagai bapa apungan. Bagaimanapun ilmu ini telah dirungkaikan dalam al-Quran sejak sekian lama bagi mereka yang mentadabur maknanya.
Melalui ilmu ini, manusia mencipta kapal laut untuk dinaiki dan boleh terapung di atas permukaan laut kerana tujah ke atas kapal adalah sama dengan berat kapal tersebut. Begitu juga dengan rekaan kapal selam, ia boleh bergerak di atas permukaan laut apabila tangki balastnya diisi dengan udara dan daya tujah ke atas kapal selam adalah melebihi beratnya. Jika tangki balast diisi dengan air, kapal selam boleh menyelam dan bergerak pada tahap kedalaman yang dikehendaki.
Setelah zaman semakin canggih, manusia mula membina rumah di atas air melalui teknologi apungan ini. Di Malaysia, Rumah Amfibia telah dibangunkan bagi menyediakan apungan vertikal apabila paras air meningkat dan memastikan kestabilan rumah semasa banjir dan hujan lebat. Teknologi berkenaan menggunakan teknologi sama dengan rekaan kapal kargo yang mampu membawa muatan berat dan boleh terapung di laut. Konkrit pontoon yang boleh terapung digunakan selain sebuah lubang digali di bahagian bawah rumah sebagai kawasan untuk mengumpulkan air banjir dan menolak rumah ke atas. Rumah Amfibia tersebut akan terapung walaupun berlaku banjir besar dan berada di tempatnya semula apabila air mulai surut.
Begitulah hebat dan uniknya ilmu yang dibekalkan oleh Allah S.W.T melalui al-Quran sehingga manusia dapat mencipta pelbagai teknologi moden dalam membina kehidupan yang selesa di atas muka bumi ini. Baki lagi, manusia hendaklah bersyukur dan jangan berlaku syirik kepada Allah.
Baca serta kajilah ilmu al-Quran sebanyak mungkin khususnya ketika kita berada di bulan yang mulia ini dan al-Quran diturunkan padanya.
USTAZ DATO’ BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
21 Ramadan 1439H – HARAKAHDAILY 6/6/2018